Home Berita PAS Kedah

Pemuda tonggak utama Kerajaan Negeri Kedah

652
SHARE

ALOR SETAR – Pemuda Kedah adalah tonggak utama dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Haji Khairil Nizam Khiruddin di Muktamar Pemuda Pas Kedah kali ke-54 yang berlangsung di Komplek Pas Kedah hari ini.

Beliau turut mengingatkan muktamar ini adalah satu agenda penting dilaksanakan bagi muhasabah pimpinan dan juga pengikut bagi mendepani cabaran memimpin negeri dan negara pasca peralihan kuasa dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin ketika menyampaikan ucapan di hadapan perwakilan pemuda seluruh Kedah mengingatkan peranan pemuda PAS Kedah bekerja membantu kerajaan negeri berbakti kepada rakyat.

“Kita perlu berganding bahu merealisasikan hasrat kerajaan negeri Kedah yang diketuai oleh YB Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor bagi merealisasikan slogan Kedah Sejahtera, nikmat untuk semua,” ujarnya.

Muktamar tersebut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada tokoh mengikut beberapa kategori. Bagi kategori tokoh anak muda, anugerah tersebut disandang oleh YB Mohd Azam Abdul Samad (ADUN Sungai Limau).

Bagi kategori tokoh amilin pula dianugerahkan kepada Puan Fauziah Taib manakala tokoh dakwah disandang oleh Ustaz Haji Jafri Abu Bakar Mahmud.

Penyampaian hadiah turut diberikan kepada Pemuda PAS Kawasan Sik yang mendaftarkan keahlian PAS terbanyak iaitu seramai 296 orang.

Majlis perasmian muktamar tersebut diakhiri dengan lambaian bendera Jalur Gemilang mengiringi nyanyian lagu Malaysia Sejahtera sebagai tanda patriotik meraikan bulan kemerdekaan.