Oleh : Zul Sham Mahat
MASJID TANAH, 8 Feb : Pemuda Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah telah bersama melakukan sanitasi secara sukarela ke atas empat buah masjid di dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah, pagi semalam.
Pemuda PN Masjid Tanah yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah dan Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah telah menjalankan proses sanitasi di Masjid Tok Janggut Paya Rumput, Masjid At Takwa Paya Lebar, Masjid Narimah Felcra Ramuan China dan Masjid Al Wakil Lubok China.
Menurut Setiausaha Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Syed Fauzi Syed Abdullah, kerja amal ini akan berterusan sehingga wabak Covid-19 ini berakhir.
“Kerja-kerja pembasmian kuman ini akan diteruskan untuk masjid-masjid yang berikutnya dan akan dibuat secara berkala.
“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengerusi-pengerusi masjid dan AJK masjid yang memberi kerja sama sepenuhnya sepanjang aktiviti sanitasi berjalan,” ujar beliau.
Turut hadir semasa proses sanitasi ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abd Rahman, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Samsudin dan Ketua Armada Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Abd Imam Jamaludin.
Untuk rekod program ini telah dijalankan serentak di seluruh Negeri Melaka semalam di bawah penyelarasan Pemuda PN Negeri Melaka.