Home Berita PAS Sabah

Pemuda PAS perlu berani memberi DPPNS nafas baru

42
SHARE

23 Oktober 2021
Oleh: Basith Samad

KINABATANGAN: Pemilihan AJK DPPNS untuk sesi 2021-2023 dilihat seolah-olah ketandusan pelapis kepimpinan sedia ada apabila ramai pemuda yang menolak untuk dicalonkan dan bergerak kerja di peringkat negeri.

Perkara itu dibangkitkan oleh perwakilan daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kinabatangan, Hatem Zakaria, ketika ucapan perbahasannya menyokong ucaptama Ketua Pemuda dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), semalam.

“Pemuda PAS Sabah mempunyai keahlian yang ramai di 20 kawasan dalam Negeri Sabah dan terdapat kawasan yang telah lama bermesyuarat agung dengan keahlian kawasan yang ramai.

“Sewajarnya ahli pemuda PAS kawasan tersebut berani menyahut seruan Ketua Pemuda agar pemuda terus berani memgisi posisi dan terus membawa gerabak dakwah DPPNS ini ke peringkat yang lebih cemerlang,” katanya lagi yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kinabatangan.

Menurutnya lagi, pemuda PAS Sabah perlu mahir dan menguasi penggunaan “soft skill” dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 seperti aplikasi yang dibangunkan oleh google dan Microsoft untuk pengurusan organisasi yang lebih sistematik dan mutaakhir.

“Dalam masa yang sama, jangan kita lupa untuk perkasakan penggunaan sistem sedia ada iaitu SISPRO dalam setiap aktiviti di peringkat kawasan masing-masing agar segala maklumat dapat dikumpulkan secara sistematik, efektif dan selamat,” tambahnya.

Manakala perwakilan dari Pemuda PAS Kawasan Kalabakan, Razman Roslee, turut menyokong penuh ucaptama Ketua Pemuda dalam usaha ke arah pemerkasaan organisasi DPPNS.

“DPPNS perlu sentiasa bergerak ke hadapan dengan memastikan setiap organ parti, jabatan dan lajnah dalam baik dan teratur.

“Kepimpinan yang dilantik perlu menganalisa setiap prestasi dewan pemuda kawasan yang sedia ada bagi tujuan ke arah penyediaan akar umbi pemuda yang lebih tersusun dan mapan yang akan memberi kesan positif kepada imej DPPNS,” tambahnya lagi.