Home Berita PAS Pusat

Pemuda PAS, PASTI edar limau kepada masyarakat Tionghua

239
SHARE

Oleh MUHAMMAD NAZRI ABDULLAH

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Jabatan PASTI Malaysia menganjurkan program edaran buah limau kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol, seperkara yang unik adalah edaran buah limau tersebut turut melibatkan para pelajar PASTI yang terpilih.

“Program ini memberi pendedahan awal kepada anak-anak PASTI selaku duta kecil perpaduan untuk mengenal dengan lebih dekat perayaan kaum lain khususnya kaum Tionghua di negara ini.

“Program yang diadakan secara bersama dengan Lajnah Perpaduan Nasional DPPM ini pernah dilaksanakan sebelum ini bermatlamatkan merapatkan jurang antara kaum sekaligus mendekatkan masyarakat non-Muslim kepada Islam yang sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya lagi, program berkenaan akan digerakkan serentak di seluruh negara sebelum ketibaan Tahun Baru Cina.

“Alhamdulillah, berdasarkan kepada respon yang diterima sebelum ini, mereka (masyarakat Tionghua) juga menyambut baik kehadiran anak-anak PASTI ini dan harapan kami agar usaha kecil ini dapat menyemarakkan lagi perpaduan di negara ini selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Kepada semua yang terlibat samada pihak pengurusan PASTI negeri, kawasan, cawangan serta para guru PASTI, tidak terlambat untuk saya rakamkan ucapan terima kasih dan tahniah atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini,” katanya.