31 Ogos 2020
Oleh: Nurizyan Haziqah Hussin
PAPAR: Pemuda PAS Kawasan Papar telah menganjurkan konvoi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis sempena Hari Kebangsaan ke-63.
Ketua Alternative Riding Club (ARC) Papar, Mohammad bin Abd Salim berkata, program ini dianjurkan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan rasa cinta terhadap negara khususnya dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, program ini juga dilaksanakan bagi menyahut saranan kerajaan untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negara dalam kebiasaan baharu.
Tambahnya lagi, pergerakan konvoi bermula di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Papar menuju ke kampung-kampung di dalam DUN Pantai Manis.
Konvoi ini turut disertai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Papar, Haji Abd Salim Karim, Timbalan Yang Dipertua, Hajj Azmi Dalin, Naib Yang Dipertua, Ustaz Nasir Othman, Penyelaras DUN Pantai Manis, Ustaz Azman Jupri dan pemuda PAS Papar.
Peserta konvoi juga mengunjungi Balai Polis, Balai Bomba dan Hospital Papar bagi menyerahkan kek sempena Hari Kebangsaan sebagai simbol dan ucapan terima kasih kerana telah berkorban menjaga kebajikan dan keamanan penduduk, khususnya di Papar.
Sementara itu, menurut Ustaz Azman, konvoi seperti ini dapat menambah rasa cinta kepada negara sekali gus memupuk rasa tanggungjawab mempertahankannya.