Home Berita PAS Pahang

Pemuda PAS Maran anjur pertandingan futsal Piala Ketua Pemuda

71
SHARE

Oleh: ASA AHMAD

MARAN, 22 Jun :: Pemuda PAS Maran telah menganjurkan pertandingan futsal Piala Ketua Pemuda PAS Maran berlangsung di Jengka Sport Centre, Bandar Jengka, di sini pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Maran Ustaz Abdul Latiff Abdul Haliff, penganjuran tersebut bertujuan untuk membina hubungan yang lebih erat antara golongan muda dengan Pemuda PAS.

“Dengan adanya program seperti ini ia dapat memberikan fahaman dan gambaran kepada generasi baharu bahawa PAS bukanlah hanya semata-mata parti politik Islam tetapi juga terlibat dengan aktiviti sukan atau riadah.

“Kita (Pemuda PAS) sebagai penganjur perlu menetapkan etika berpakaian yang bertepatan dengan Islam, mestilah menutup aurat, dan kita juga berusaha menerapkan unsur dakwah yang lain termasuk bersolat jemaah di gelanggang futsal tersebut,” kata Abdul Latiff.

“Penganjuran ini juga memberi makna kita (PAS) juga tidak menyekat kegiatan sukan dan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan anak muda khususnya dalam bidang sukan dan juga bidang-bidang lain,” jelasnya lagi.

Pertandingan yang dikhususkan kepada  penyertaan anak muda 18 tahun ke atas dalam parlimen Maran itu telah dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Maran.

Sebanyak 32 pasukan telah menyertai pertandingan tersebut dan telah dijuarai oleh pasukan Sri Jaya Futsal Team (SJFT) dengan menerima hadiah Piala Ketua Pemuda Maran dan iringan wang tunai RM1,000.

Manakala Naib Johan ialah pasukan Jengka 2 dengan menerima hadiah wang tunai RM700. Tempat ketiga pula telah diraih oleh pasukan Taman Maran Jaya Indah (TMJI) City serta ke-empat oleh pasukan Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menang.

Turut hadir semasa penyampaian tersebut ialah ADN Luit Mohd Sofian Abdul Jalil, dan Ketua Penerangan PAS Maran Fazil Azmi Nadzri.