Home Kenyataan Media PAS Kedah

Gagasan Penyatuan Ummah Senjata Ampuh Pru Ke 15

90
SHARE

Dewan Muslimat PAS Kedah menyokong serta bersetuju dengan pandangan Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya bahawa gagasan penyatuan ummah merupakan senjata ampuh untuk kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan datang.

Oleh itu, ‘Khemah Besar’ sepertimana diuar-uarkan oleh pihak tertentu tidak menjadi pilihan PAS malah menolak jajaran baharu atas keyakinan penyatuan ummah lebih mampu memacu kecemerlangan pentadbiran.

Malah kenyataan Naib Presiden PAS, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah menolak ‘Khemah Besar’ sangat tepat apatah lagi untuk bekerjasama bersama parti DAP.

Dewan Muslimat PAS juga komited dengan keputusan PAS Pusat untuk terus mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) namun dalam masa yang sama akur kepada apa jua arahan pihak peringkat atasan.

Tidak dinafikan penyatuan ummah bersama MN dan PN antara ramuan terbaik untuk memastikan negara dan negeri tidak kembali ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selain menyelamatkannya dari diselewengkan.

Dalam masa yang sama penyatuan ummah yang menjadi resepi PRU akan datang ini sesekali tidak akan mengabaikan kaum dan agama lain sebaliknya hak mereka terus terjamin.

Kejayaan demi kejayaan telah ditunjukkan oleh negara dan negeri yang kini diterajui PN demi kemakmuran serta kebaikan rakyat walaupun usia pemerintahan belum mencecah tiga tahun.

Kecemerlangan itu jelas membuktikan penyatuan ummah mampu menjadi penerajui terbaik demi agama,bangsa,dan rakyat keseluruhannya.

YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali
Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah
22 Jun 2022