Oleh: KHASDI KOSNIN
INDERA MAHKOTA, 17 Jan :: Pasca banjir adalah peringkat yang paling rumit untuk dihadapi dan memerlukan kerjasama serta bantuan pelbagai pihak. Ia memerlukan perancangan yang patut diberikan perhatian sewajarnya.
Lantaran itu Dewan Pemuda PAS (DPP) Indera Mahkota bersama dengan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Indera Mahkota sepakat turun padang dengan semangat berjuang dalam saf yang sama bagi memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan buat masyarakat yang terkesan.
Ketua DPP Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah berkata, “Pasca banjir adalah waktu ketika orang sudah penat kerana pelbagai kerja perlu dilakukan seperti mencuci rumah, pakaian, peralatan dan sebagainya.
“Namun dengan pengalaman membantu mangsa, kami sudah melakar rancangan untuk menghulurkan bantuan memeriksa tahap kesihatan mereka setelah mereka mengharungi keperitan gelombang banjir.
“Kami memfokus kepada tekanan darah dan kandungan gula dalam darah sebagai inisiatif dalam memastikan kesihatan para penduduk terjaga.
“Program ini dilakukan dari rumah ke rumah di Kampung Sungai Pinang, Kampung Padang. Secara tidak langsung dapat mengenal pasti keperluan mereka setelah menghadapi banjir dan kita cuba bantu setakat yang kita mampu,” ujar beliau lagi.
Di samping itu mereka juga diberi nasihat untuk menjaga kesihatan, memastikan minum minuman dari air yang bersih berikutan penyakit berjangkit mudah menular selepas berlakunya banjir.
Salah seorang penduduk yang terlibat, Hawa Yunus 68 tahun berkata, beliau sangat teruja di atas keprihatinan PAS dan Bersatu di dalam menjayakan program ini, kerana ianya amat baik dan kena pada waktunya bagi memastikan tahap kesihatan penduduk selepas mengalami banjir.
Rombongan ini juga disertai Ketua Armada Indera Mahkota Khairul Amilin dan pengamal perubatan klinik swasta Mahathir Mazlan dari team Prihatin Bersatu.