Home Berita PAS Negeri Sembilan

Pemilihan calon ketua menteri wanita: Bukti PAS bukan parti jumud

533
SHARE
 
PEMILIHAN CALON KETUA MENTERI WANITA: BUKTI PAS BUKAN PARTI JUMUD

Perikatan Nasional (PN) telah memilih calon Ketua Menteri (KM) wanita daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika PN menang dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 20 November 2021. Jika ini menjadi realiti, YB Mas Ermieyati Samsudin akan menjadi KM Melaka wanita yang pertama. Untuk rekod, YB Mas Ermieyati juga ialah wanita pertama yang menjadi ahli parlimen di Melaka.

Menariknya pengumuman itu dibuat dalam keadaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berada dalam gabungan PN. Bahkan, pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PN itu dibuat dalam keadaan YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berada di sebelahnya sebagai Naib Pengerusi PN. Seolah-olah PAS bersetuju dengan pengumuman tersebut.

Sudah tentu pengumuman ini menimbulkan polemik. Adakah dibolehkan seorang wanita menjadi KM? Apa pandangan agama mengenai isu ini?

Sudah tentu ada khilaf dalam isu ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Bagi yang tidak bersetuju, mereka berdalilkan, antaranya firman Allah, “Lelaki lebih kuat daripada wanita” (an-Nisa’, 4:34) dan hadis Abu Bakrah yang berbunyi, “Tidak beruntung sesuatu kaum yang menyerahkan kepimpinannya kepada seorang wanita.” (Riwayat al-Bukhari).

Namun, pada masa yang sama, terdapat ulama’ yang membenarkan wanita menjadi ketua. Antara hujahnya adalah firman Allah, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain…” (at-Taubah, 9:71) serta penerimaan Ratu Balqis sebagai pemerintah Saba’ berdasarkan firman Allah, “Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.” (an-Naml, 27:33-34)

Antara ulama’ kontemporari yang menerima pelantikan jawatan tertinggi dari kalangan wanita, hatta jawatan PM sekalipun, adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi. Antara hujahnya adalah tiada lagi khilafah pada zaman ini. Larangan pelantikan wanita sebagai ketua hanya terpakai pada jawatan khalifah sahaja. Ini juga adalah pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali. Adapun, jawatan-jawatan lain, terdapat perbezaan dan perbahasan panjang mengenai sempadan boleh atau tidak bagi wanita memegang jawatan tersebut.

Dalam sirah, walaupun Rasulullah s.a.w. tidak pernah melantik wanita sebagai ketua, namun peranan wakil-wakil wanita diterima oleh baginda, termasuklah dalam urusan soal jawab bagi pihak wanita, baiah dan lain-lain. Sayidatina Khadijah r.a. isteri baginda sendiri mempunyai peranan penting dalam perjuangan baginda. Begitu juga dengan Sayidatina Aisyah r.a., para ummahatul mukminin yang lain, Nusaibah binti Kaab r.a. dan ramai lagi sahabiyyat yang memainkan peranan besar dalam perjuangan awal Islam.

Selain itu, pelantikan al-Shifa’ binti Muawwiz sebagai hakim hisbah di pasar Madinah pada zaman Khalifah Umar al-Khattab adalah antara pelantikan yang mengangkat martabat wanita dalam urusan pentadbiran. Tugasnya adalah untuk memastikan kelancaran dan menghapuskan penipuan semasa menjalankan urusan perniagaan. Pelantikan beliau turut dijadikan hujah bahawa wanita boleh diberi tanggungjawab mentadbir negara.

Dunia Islam Melayu juga mempunyai sejarah melantik wanita sebagai ketua negeri. Antaranya Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong di Kelantan, Sultanah Taj al-‘Alam Safiyat al-Din Syah, Sultanah Nur al-Alam Naqiyat al-Din Syah, Sultanah ‘Inayat Syah dan Sultanah Kamalat Syah di Aceh serta Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning di Patani.

Pencalonan YB Mas Ermieyati sebagai calon KM oleh PN serta persetujuan PAS akan hal tersebut betul-betul menonjolkan sisi dinamika PAS dalam berpolitik di samping mengambil kira ijtihad politik dalam kerangka yang dibenarkan syarak.

Walaupun ada suara-suara sinis yang mempersoalkan kenapa PAS membenarkan calon KM daripada wanita? Bukankah PAS berat menerima Wan Azizah sebagai calon MB Selangor satu ketika dulu?

Sudah tentu kedua-dua keadaan antara Wan Azizah dan Mas Ermieyati berbeza.

Satu, Wan Azizah dicadangkan sebagai MB Selangor untuk menggantikan Khalid Ibrahim dengan peletakan jawatan seorang ADUN untuk membuka ruang kepada Wan Azizah untuk masuk sebagai ADUN dan seterusnya dilantik sebagai MB. Pilihanraya kecil sebegitu adalah satu pembaziran. Berbeza dengan keadaan Mas Ermieyati yang memang dicalonkan dalam suasana pilihanraya sedang berlangsung.

Dua, Wan Azizah tiada kredibiliti sebagai seorang pemimpin. Beberapa kali TGHH mengulas mengenai ketidak mampuan Wan Azizah berucap, berbahas dan sebagainya. Menjadi seorang isteri kepada tokoh pemimpin tidak menjadikan dia pemimpin. Dia adalah isteri pemimpin. Dia bukan pemimpin. Jika dia diangkat sebagai pemimpin, ia hanyalah untuk menjaga kerusi yang selayaknya dipegang oleh suaminya, dan bukannya dia. Berbeza dengan Mas Ermieyati yang memang mempunyai pengalaman luas dalam politik dan banyak menerajui organisasi dan pertubuhan.

Namun, sejarah turut membuktikan semangat setiakawan PAS apabila akhirnya turut mencalonkan Wan Azizah sebagai calon MB Selangor selepas Langkah Kajang. Maka, tiada apa-apa yang menghairankan dengan persetujuan PAS atas pencalonan YB Mas Ermieyati.

Jangan ragu. Undi Perikatan Nasional!

Wan Ali Akbar Wan Abdullah

Timbalan Ketua Dewan Pemuda
PAS Kawasan Seremban