Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Pembukaan Industri Perjudian : Usah Rosakkan Usaha Yang Telah Ada

359
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

6 REJAB 1442 l 18 FEBRUARI 2021

PEMBUKAAN INDUSTRI PERJUDIAN : USAH ROSAKKAN USAHA YANG TELAH ADA

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa pembukaan semula industri perjudiaan adalah tidak wajar apatah lagi dalam tempoh negara dan seluruh rakyat sedang bergelut berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang memberikan kesan menjejaskan terhadap kesihatan, sektor ekonomi, sosial dan juga pendidikan. Ditambah lagi, negara dalam tempoh pengisytiharan darurat bagi memastikan semua pihak memberikan fokus kepada usaha menangani pandemik ini, maka isu pembukaan industri perjudian sebegini adalah amat tidak wajar.

2. Islam sendiri mengharamkan perjudian kerana mendatangkan kemudaratan antaranya pergaduhan dan permusuhan. Sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT :

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). – (Surah al-Maidah : 91)

3. Malah perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudiaan bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan.

4. Pembukaan kembali aktiviti industri perjudian juga hakikatnya bukanlah membantu sektor ekonomi awam, ia hanya menguntungkan pemilik premis perjudian sahaja. Dibimbangi juga, dengan pembukaan semula ini akan mengheret orang yang terdesak ekoran terjejas ekonomi disebabkan pandemik ini yang akhirnya menjerut mereka kembali. Ini kerana hikmah pengharaman judi juga adalah kerana perjudian akan melahirkan individua atau masyarakat yang malas berusaha dan hanya bergantung dengan nasib pertaruhan semata-mata.

5. Rakyat juga pada masa kini sedang “ikat perut” dan berhadapan dengan isu sember pendapatan rakyat. Industri perjudian bukanlah menguntungkan rakyat malah negara, namun ia hanya bersifat kepentingan pemilik premis dan industri itu sahaja. Pembukaan semula tidak hanya memberikan imej yang tidak baik malah dalam masa yang sama boleh “menjerut” rakyat yang terdesak.

6. Di saat pelbagai inisiatif yang telah salurkan antaranya PENJANA, PERMAI dan lain-lain bagi membantu ekonomi rakyat kembali rancak dengan aktiviti mikro, maka pembukaan industri perjudian sekalipun jika hanya terhad kepada ahlinya sahaja akan mengundang kerosakan kerana judi bukanlah sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada negara atau individu. Malah lebih malang lagi, ia akan mencalarkan imej negara Malaysia yang memperuntukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

7. Justeru, kerajaan Perikatan Nasional yang pada hari ini imejnya mendapat sokongan padu khususnya dari kalangan Melayu Muslim wajar mengambil kira suara bantahan ini bukan hanya semata-mata kepentingan kedudukan politik tetapi ia merupakan tanggungjawab dari sudut perspektif agama. Rancakkan lagi usaha bantuan selain industri perjudian ini dalam membantu ekonomi rakyat dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan juga boleh menangguh beberapa cukai yang tertentu yang membebankan kewangan rakyat waktu sehingga ke waktu kembalinya pulih ekonomi sepenuhnya.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

*YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH*
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat