Home Minda Presiden

Negara Berkat, Rakyat Selamat

576
SHARE

Minda Presiden PAS
NEGARA BERKAT, RAKYAT SELAMAT


 Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99).” (Surah al-A‘raf: 96-99)

Antara peranan manusia yang menjadi tujuan mereka diciptakan oleh Allah SWT ialah memakmurkan dunia yang disebutkan dalam bahasa al-Quran dengan perkataan ‘khilafah’, yang bermaksud mentadbir negara dalam segala aspeknya. Ia juga diringkaskan dalam pelbagai bahasa dengan perkataan politik atau disebutkan dalam Sunnah Rasulullah SAW dengan perkataan ‘siyasah’. Sebagaimana sabda Baginda SAW:

كَانَتْ بَنُوْ إِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ.

“Allah menetapkan kepada Bani Israel bahawa para pemimpin siyasah mereka ialah para anbiya’.” (Riwayat al-Bukhari 3455)

Hari ini diuar-uarkan berkenaan integriti, tanpa konsep taqwa dan berkat iaitu perkara yang tiada dalam istilah teori atau ideologi ciptaan manusia yang bertuhankan akal semata-mata.

Allah SWT menetapkan ‘road map’ paling mudah untuk dijadikan teladan dalam memakmurkan bumi dengan segala makhluk ciptaan-Nya yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia itu sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ١٦٤﴾

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit; lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (Surah al-Baqarah: 164)

Kita sedang mengalami krisis kemanusiaan yang merosakkan alam sekitar dan kehidupan manusia disebabkan salah urus dan salah laku manusia itu sendiri.

Contoh yang paling dekat ialah tanaman pelbagai tumbuhan seperti pokok buahan dan bijian yang menjadi keperluan bagi mengisi perut semua orang. Bermula dengan alam sekitar yang ada di sekeliling manusia yang memerlukan tanah yang sesuai, sehinggalah mencari benih yang baik dan elok tapak semaiannya, serta jagaan baja yang sesuai dan air yang mencukupi.

Selain itu, selamat daripada serangan makhluk perosak dengan menggunakan pelbagai cara sehinggalah menyediakan racun serangga yang membunuhnya sekiranya perlu. Jika baja dan siramannya melampau, kemungkinan pokoknya boleh mati. Begitu juga berlebihan racun serangga, manusia pun boleh mati.

Setelah anak pokok dialih, maka ia memerlukan jagaan. Penyediaan tanah yang sesuai, baja yang sepatutnya dan racun makhluk perosak, ditambah lagi dengan pagar yang kukuh. Jika binatang besar menjadi musuh tanaman, maka dicari senjata untuk membunuhnya.

Al-Quran merakamkan cerita Adam AS dan Hawwa AS yang dihantar ke bumi dengan permulaan membina integriti iman, amal soleh dan akhlak, bukan sahaja kemahiran makan minum, pakaian dan hubungan suami isteri yang baik.

Bahkan mereka ditarbiah dengan mengenali makhluk perosak bernama Iblis, pemimpin syaitan yang paling berjaya menipu mereka dengan godaan yang menarik iaitu godaan nafsu dan kuasa:

﴿وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى١١٦ فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَذَا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَى١١٧ إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَى١١٨ وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَى١١٩ فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى١٢٠ فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ  وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى١٢١ ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى١٢٢﴾

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, dia enggan sujud. (116); Maka, Kami berfirman: ‘Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.’ (117); ‘Sesungguhnya telah dikurniakan pelbagai ni‘mat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang.’ (118); ‘Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari.’ (119); Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: ‘Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’ (120); Kemudian mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (121); Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. (122).” (Surah al-Taubah: 116-122)

Adam AS ditarbiah mengenal kawan dan lawan, bukan sahaja mengenal perkara yang halal dan haram. Bahkan juga diajar supaya insaf setelah berdosa dengan bertaubat. Inilah contoh penyediaan manusia yang akan memimpin dunia.

Walaupun berilmu, namun tetap bersifat dengan sifat kelemahan seorang manusia. Sifat taqwa menjadikannya bertaubat apabila berdosa dan tidak leka jika tidak berdosa. Bukan semata-mata mempunyai ilmu dan bijak, tetapi perangai macam syaitan, kelompok yang hanya tahu melakukan dosa tetapi tidak tahu bertaubat.

Maka Islam berbeza dengan demokrasi Barat yang tidak mempunyai iman kerana mereka hanya mensyaratkan seseorang itu mencapai usia 18 tahun. Sebaliknya, Islam mensyaratkan integriti seseorang pemimpin itu wajib bersifat dengan ‘adalah (adil) bermaksud tidak fasiq. Bukan sekadar cukup umur baligh (kematangan dan mukalaf), akan tetapi wajib dibina dengan ilmu, iman, amal soleh dan akhlak yang mulia.

Islam juga menetapkan hukum syariat bagi menghalang atau menghapuskan makhluk perosak negara dan masyarakat. Bukan sahaja melalui pelaksanaan undang-undang bersifat mendidik yang dinamakan dengan takzir, bahkan juga melalui undang-undang keras yang dinamakan dengan hudud dan qisas yang dikawal dosnya (kadarnya). Kawalan undang-undang sama seperti kawalan ubat dan racun serangga makhluk perosak supaya tidak melampau dengan sistem kehakiman yang berilmu, beriman dan budiman.

Pada masa yang sama, Islam menggalakkan amalan bertaubat dan insaf di luar mahkamah, sehingga Rasulullah SAW bersabda:

ادْرَءُوا ‌الحُدُودَ ‌عَنِ ‌المُسْلِمِينَ ‌مَا ‌اسْتَطَعْتُمْ، ‌فَإِنْ ‌كَانَ ‌لَهُ ‌مَخْرَجٌ ‌فَخَلُّوا ‌سَبِيلَهُ، فَإِنَّ الإِمَامَ أَنْ يُخْطِئَ فِي العَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي العُقُوبَةِ.

“Tolaklah hukuman hudud (keras) daripada kalangan Muslim sekadar kemampuan kamu. Jika ada jalan keluar, maka usahakan laluinya. Maka sesungguhnya kesilapan dalam mengampunkan lebih baik daripada kesilapan menjatuhkan hukuman.” (Riwayat al-Tirmidhi 1424)

Maka Islam menggalakkan kerjaya peguam (wakalah) bagi membela orang tertuduh yang mungkin tidak mampu berhujah. Bukan dengan mengambil pendekatan mencari jalan sedaya upaya untuk menjatuhkan hukuman sekeras-kerasnya.

Pada masa yang sama, hukum Islam berprinsipkan aqidah (iman) yang mengajar bahawa adanya balasan neraka selepas meninggal dunia sekiranya seseorang itu tidak bertaubat sebelum mati.

Islam sangat menggalakkan seseorang itu agar bertaubat di hadapan Allah SWT daripada menyerah diri di mahkamah dalam kehidupan dunia, kerana beriman kepada Allah, Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sebenarnya krisis nilai yang dialami hari ini adalah kerana kesilapan menyediakan benih yang mewarisi sistem pendidikan, masyarakat, alam sekitar dan media yang mempengaruhi kehidupan manusia berorientasikan acuan falsafah Barat yang tidak beriman.

Sistem sebegini tidak memenuhi fitrah penciptaan manusia yang terdiri daripada jasad, akal dan roh yang menjadi ciri keperluan hidup secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat.

Selain itu, peranan media yang menjadi makhluk perosak secara total menunjukkan kesan negatif yang parah. Ada yang bercampur aduk antara madu dan racun, seperti menunjukkan kononnya anti rasuah tetapi pada masa yang sama menjadi pengampu kepada makhluk perosak negara yang masih berkeliaran.

Terdapat dalam kalangan kita juga menyediakan tapak semaian politik wang dalam parti-parti politik sendiri yang telah menjadi penyakit kronik. Bagaimana pula jika rakyat juga dibawa wabak penyakit yang sama. Maka penyakit ini wajib disembuhkan.

Kita juga wajib mewujudkan ekonomi yang memenuhi keperluan kehidupan di semua peringkat dan memberikan segala kemudahan, keselesaan hidup serta pergerakannya yang mencegah segala masalah.

Maka penyelesaian kepada masalah manusia mestilah secara holistik, tidak memadai hanya ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang dan petugasnya sahaja. Laksana sekadar menyediakan pemukul nyamuk tanpa menghapuskan longkang sampah sarap yang membiakkannya.

Allah SWT yang menciptakan manusia, telah menguji mereka dengan sihat dan penyakit. Bahkan juga menyediakan ubat dalam diri sendiri dan berada di sekeliling kita, termasuklah Allah SWT mengharamkan daripada membunuh diri.

Kita diwajibkan mencari ubat sehingga Allah SWT menghalalkan bahan yang haram walaupun demi mengisi perut, maka kelangsungan hidup itu lebih penting untuk tujuan perubatan hamba-Nya.

Kepada mereka daripada kalangan pelampau agama yang cepat mengharamkan vaksin, saya minta bacalah firman Allah SWT ini:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ١٧٢ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ١٧٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (172); Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (173).” (Surah al-Baqarah: 172-173)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Di jendela IJN, 18 Februari 2021.