Home Artikel PPP

Pembentukan Kesultanan Melayu Pattani Dan Pengislamannya: Satu Teori Baru

6753
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH 
Siri 4⃣8⃣

PEMBENTUKAN KESULTANAN MELAYU PATTANI DAN PENGISLAMANNYA: SATU TEORI BARU


EMPAT teori telah diangkat oleh para sarjana dalam memperkatakan tentang pembentukan Kesultanan Melayu Pattani berdasar beberapa versi kronik Melayu. Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Langkasuka, Hikayat Pattani, Cetera Negeri Patani, Sejarah Melayu (Silalatus Salatin) dan Tarikh Pattani masing-masing telah mencatatkan secara berbeza tentang watak-watak yang terlibat dalam proses peng-Islaman Raja Pattani, tetapi dengan jalan cerita yang sama. Kecuali, Silalatus Salatin yang mengatakan Cau Seri Bangsa adalah anak Raja Siam yang membuka Pattani setelah mengalahkan Sultan Sulaiman Shah, dan memeluk Islam kerananya sebelum mendapat daulat dari Sultan Melaka, riwayat yang lain mengatakan sama ada Phya Tu Nakpa atau Raja Anthira Wangsa telah di-Islamkan oleh seorang ulamak pendakwah di Pattani. Persoalan ini sangat sukar untuk ditentukan yang mana paling benar kerana sumber-sumber maklumat sejarah Pattani telah banyak musnah dalam serangan Siam pada 1784-1786M.

Tentang teori-teori pembentukan Kesultanan Islam di Pattani sebagai perbincangan awal sebelum ini boleh dirujuk pada pautan https://berita.pas.org.my/kesultanan-pattani-pembangun-tamadun-ilmu-nusantara-2/ .

Secara umumnya, teori asal yang dapat dirumuskan tentang pembentukan Kesultanan Pattani ini adalah seperti berikut:

I. Peng-Islaman Phya Tu Nakpa oleh Sheikh Said Barsisa pada 1457M dan baginda bergelar Sultan Ismail Shah. Hal ini adalah berdasarkan Hikayat Pattani;

II. Peng-Islaman Raja Anthira Wangsa oleh Sheikh Safiyuddin al-Abbasi pada 1457 dan baginda bergelar Sultan Muhammad Shah. Hal ini adalah berdasarkan Catera Negeri Pattani;

III. Peng-Islaman anak Raja Siam, Cau seri Bangsa selepas pembunuhan Sultan Sulaiman Shah, lalu mendapat daulat daripada Sultan Mahmud Shah Melaka, lalu bergelar Sultan Ahmad Shah. Hal ini adalah berdasarkan Silalatus Salatin; dan

IV. Adalah kesimpulan-kesimpulan para sarjana yang merumuskan bahawa Dinasti Seri Wangsa adalah keturunan Raja Jayawangsa dari Seriwijaya dan Raja Merong Mahawangsa dari Kedah. Phya Tu Nakpa dikatakan keturunan kedua-dua raja itu yang memeluk Islam melalui Sheikh Said Barsisa.

Kerajaan Islam Sebelum Pattani: Meneliti Kerajaan Islam Yang Hilang Dari Sejarah

Sebelum muncul Pattani sebagai sebuah kerajaan, wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu sehingga Segenting Kra adalah pusat politik dan pedagangan yang masyhur sejak abad kedua Masehi. Beberapa kerajaan di sekitar Pattani telah memeluk Islam antaranya Kedah (1136M), Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M). Lebih menarik lagi, ialah Kerajaan Jawaka yang berpusat di tapak Kerajaan Langkasuka telah menerima Islam apabila rajanya, Raja Sakranta (1253-1267M) memeluk Islam dengan nama Islamnya, Raja Zainuddin. Putera Raja Sakranta, Raja Sang Tawal (1267-1318M) yang terkenal itu pula memakai nama Raja Abdullah. Raja Sang Tawal yang tewas kepada Raja Siam, berundur ke Kelantan. Di Bukit Panau, Kelantan, mereka menubuhkan Kerajaan Cermin Jeddah, di mana Raja Bharubhasa (1335-1362M) adalah raja Kelantan yang pertama bergelar sultan, iaitu Sultan Mahmud Shah. Ada pengkaji yang mempersoalkan adakah Phya Tu Nakpa raja yang pertama memeluk Islam.

Menurut Halim Bashah, seorang ulamak dari Pattani telah datang ke Kelantan pada 1150M dan berjaya meng-Islamkan Raja Kelantan lalu baginda bergelar ‘al-Mutawakkil ala Allah’ seperti yang tercatat pada dinar emas yang bertarikh 577H (1181M). Pattani dikatakan telah menerima kedatangan Islam sejak abad ketujuh Masehi apabila Sheikh Abdul Samad dari Negeri Rom datang ke Pattani pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661M), tetapi Islam dikatakan mulai berkembang di Pattani mulai abad ke-10M. Tetapi Raja-raja di Pattani dikatakan mulai menerima Islam 300 tahun kemudian, seperti peng-Islaman Raja Sakranta (1253-1267M). Munurut Halim Bashah, Bedelung (Patthalung) atau Ligor (sekarang Nakhon Si Tamarat) adalah wilayah terawal yang menerima Islam, di mana ia diperintah oleh seorang raja Islam, Sultan Sulaiman Shah (1357-1398M) sebagai pemerintah Langkasuka. Baginda dikatakan kekanda kepada Puteri Urduja Wijaya Malasingha (Cik Siti Wan Kembang) yang memerintah Kelantan dalam catatan Ibnu Batutah itu.

Dikatakan bahawa Empayar Jawaka telah mulai kehilangan wilayahnya pada abad ke-13M apabila Champa jatuh ke tangan Die Viet dan mulai dikenali sebagai Empayar Melayur pusat kerajaan sedangkan Melayur berpindah dari Kelantan ke Bedelung, setelah Lambo Tal, adinda Raja Sakranta berjaya mengalah Siam Sukhotai pada 1266M dan menamakan negeri itu sebagai Lanka, selain meluaskan wilayahnya ke Tambralingga pada 1281M. Pada 1292M, Ram Khamheng, Raja Siam Sukhotai yang disokong oleh Kublai Khan, pemimpin Mongol telah berjaya menyerang Kota Grahi, pusat Kerajaan Lanka dan akhirnya pada 1294M kota ini jatuh ke tangan Siam Sukhotai dan mula dikenali sebagai Ligor. Raja Sang Tawal yang menggantikan ayahandanya, Raja Sakranta telah melancarkan serangan terhadap Siam Sukhotai pada 1317 di Cahaya (sekarang Chaiya), Segenting Kra dan berhasil membunuh Raja Ram Khamheng, apabila puterinya, Puteri Urduja Wilaya Malasingha berhasil membunuh Raja Siam Sukothai itu. Hasil kemenangan ini, Puteri Urduja dilantik sebagai Raja Kelantan Hulu berpusat di Kuala Krai dengan gelaran Cik Siti Wan Kembang yang terkenal itu.

Pada 1325M, Lo Thai, putera Raja Ram Khamheng telah berjaya menawan semula Kota Grahi, lalu kerajaan pun berpindah semula ke Kelantan, berpusat di Bukit Panau pada 1335M dengan Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Shah) menjadi raja. Pada 1356M, Raja Bharubhasa telah menyerang Langkasuka dan menguasai Kota Mahligai, diikuti oleh penawanan negeri Tiktawilwa. Tiktawilwa yang dinamakan sebagai Singa Negara (disebut Senggora dalam pelat Melayu atau Songkhla dalam bahasa Siam) telah diperintah oleh puteranya, Raja Baharun atau Prak Barun Racha (1370-1388M). Langkasuka yang ditawan bersama Gajah Mada dari Majapahit telah diserahkan kepada Raja Singa Dhiraja, adinda Raja Bharubasha yang bergelar Sultan Sulaiman Shah yang berkerajaan di Kota Mahligai. Langkasuka telah dikenali sebagai Wurawuri, tetapi Kota Mahligai kekal sebagai pusat kerajaannya. Sultan Sulaiman Shah inilah yang disebut oleh Silalatus Salatin sebagai raja yang dibunuh oleh Cau Seri Bangsa, anak Raja Siam Ayuthiya itu.

Siapakah Phya Tu Nakpa?

Raja Siam Ayuthiya, Rama Raja atau disebut sebagai Cau Sri Bangsa (1395-1408M) telah melancarkan serang balas ke atas Kota Grahi atau Ligor antara 1395-1398M. Dalam serangan ini, Raja Siam itu telah melanda Ligor, Senggora dan Wurawari (Langkasuka) sekaligus dan berhasil membunuh tiga orang Sultan Melayu iaitu Sultan Mohamad Tahir (Ligor), Sultan Baharun (Senggora) dan Sultan Sulaiman Shah(Wurawari), sehingga memaksa Sultan Baki Shah, putera Raja Bharubhasa yang memerintah Kelantan berundur ke Terengganu dan membayar ufti kepada Raja Siam Ayuthiya itu. Rama Raja pula telah bertindak melantik putera Sultan Sulaiman Shah sebagai Gabenor Wurawari yang bergelar Phya Tu Kurub Mahajana pada 1398M. Sultan Baki Shah Kelantan yang menghantar rombongan diplomatik ke China pada 1411M, telah berpakat dengan sepupunya, Phya Tu Kurub Mahajana untuk menghalau orang Siam dari Wurawari (sekarang Pattani). Kesan dari lawatan Laksanama Cheng Ho yang beragama Islam ke Kelantan pada 1412M, kedudukan raja-raja Melayu Islam di Kelantan dan Wurawari semakin kukuh sehinggalah mereka diserang oleh Raja Siam Ayuthiya, Raja Intharaja (1408-1424M) pada 1415M.

Setelah Phya Tu Kurub Mahajana berundur ke Kedah akibat serangan Siam itu, setelah keadaan aman, puteranya, Phya Tu Antara telah dirajakan semula di Kota Mahligai. Baginda memakai gelar Phya Tu Nakpa dan didatangi oleh Sheikh Said Barsisa pada 1453M untuk meng-Islamkannya. Oleh kerana, Phya Tu Nakpa, Raja Wurawari (Pattani) yang berpusat di Kota Mahligai itu pada asalnya adalah gabenor bagi Kerajaan Siam Ayuthiya selepas pembunuhan datuknya, Sultan Sulaiman Shah, maka kebudayaan Siam masih kuat dalam kerajaannya, sedangkan orang-orang Melayu Pattani seperti yang digambarkan oleh Sheikh Faqih Ali al-Fathani dalam Tarikh Fathani, masih mengamalkan budaya jahiliyah. Ertinya, penyebaran Islam dalam Kerajaan Jawaka sejak 1250-an Masehi dan peng-Islaman orang Melayu di sini tidak berlaku secara tersusun. Salah satu sebabnya ialah kerana siri-siri peperangan yang berlaku antara Kerajaan Jawaka dan Malayur dengan Siam sepanjang beberapa abad itu, sehinggalah Phya Tu Nakpa menjadi raja selepas 1415M.

Peng-Islaman Pattani: Beberapa Penyelesaian

Beberapa konflik kesimpulan atau perselisihan tentang proses peng-Islaman Raja Pattani dapat dirungkai dengan data-data baru ini. Secara umumnya, beberapa perkara dapat kita perhatikan, seperti berikut:

I. Siapakah sebenarnya Phya Tu Nakpa?

Phya Tu Nakpa adalah cucunda kepada Sultan Sulaiman Shah, yang juga bererti cicit kepada Raja Sang Tawal, raja Kerajaan Malayur. Beliau adalah anak kepada Phya Tu Kurub Mahajana seperti yang disebut dalam banyak riwayat. Phya Tu Nakpa yang didakwa di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa sebenarnya seorang Islam, tetapi memakai gelaran kebesaran Siam yang tidak ketahui nama sebenar baginda dan ayahandanya. Ini kerana Raja Sakranta (Raja Zainuddin), Raja Sang Tawal (Raja Abdullah), Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Shah), Raja Singha Dhiraja (Sultan Sulaiman Shah) dan keluarga mereka semuanya beragama Islam. Mungkin kerana pengamalan Islam masih rendah seperti ‘Islam abangan’ di Jawa dan kepercayaan tahyul dan kurafat masih tinggi. Menurut Hikayat Pattani, “Adapun raja itu sungguh pun dia membawa agama Islam, yang menyembah berhala dan makan babi itu juga (sahaja) yang ditinggalkan. Lain daripada itu segala pekerjaan kafir itu suatu pun tiada diubahnya.” Maka ‘peng-Islaman’ oleh Sheikh Said Barsisa itu, lebih tepat adalah untuk memaksa baginda beramal dengan Islam.

II. Adakah Phya Tu Nakpa menjadi raja sejak 1415M hingga 1530M?

Phya Tu Nak dikatakan menggantikan ayahnya, Phya Tu Kurub Mahajana pada 1415M dan dicacatkan oleh banyak pihak bahawa baginda memerintah sehingga 1530M. Ia agak tidak munasabah seorang raja memerintah selama lebih 100 tahun. Menurun Halim Bashah, Phya Tu Nakpa selepas di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa, memakai gelaran Sultan Ismail Zilullah fil Alam atau Sultan Ismail Shah. Pada tahun 1500M, Phya Tu Nakpa sebagai seorang raja tua telah wafat dan digantikan oleh cucu saudaranya, Phya Tu Intira (cucunda kepada Sultan Mohamad Tahir, Raja Ligor). Phya Tu Intira (atau Indera) inilah yang ‘di-Islamkan’ oleh Sheikh Safiyuddin al-Abasi dan bergelar Sultan Mohammad Shah. Baginda memerintah sehingga 1530M. Di sini, isu siapakah yang meng-Islamkan Raja Pattani, adakah Sheikh Said Barsisa atau Sheikh Safiyuddin al-Abasi telah terjawab.

III. Kenapa Cau Seri Bangsa dikatakan memeluk Islam?

Cau Seri Bangsa atau Ram Raja adalah pengganti Raja Ramesuen (1388-1395M) dalam Dinasti Ayuthiya. Banginda telah menyerang pada 1398M dan membunuh Sultan Sulaiman Shah. Baginda tidak memeluk Islam, sebaliknya melantik putera Sultan Sulaiman Shah, Phya Tu Kurub Mahajana sebagai Gabenor Siam di Kota Mahligai. Tetapi Tun seri Lanang menulis dalam Silalatus Salatin sebaliknya. Tun Seri Lanang adalah Bendahara Kerajaan Johor-Riau yang menjadi saingan kepada Kerajaan Pattani di Semenanjung Tanah Melayu. Ada pengkaji yang mengatakan Tun Seri Lanang bermaksud untuk merendah darjat Raja-raja Pattani kerana berasal dari keturunan Siam Ayuthiya, bukan berdarah raja Melayu seperti keturunan Raja Melaka. Sedangkan, dalam sejarah Siam, Cau Seri Bangsa kekal menjadi Raja Siam sehingga diganti oleh Raja Intharaja I (1408-1424M).

IV. Silasilah Raja Pattani

Setelah meneliti data-data tentang kedudukan sebenar Raja-raja Pattani, silsilah mereka adalah seperti berikut:
i. Raja Sakranta (Raja Zainuddin) (1253-1267M)
ii. Raja Sang Tawal (Raja Abdullah) (1267-1335M)
iii. Raja Singha Dhiraja (Sultan Sulaiman Shah) (1356-1398M). Baginda dibunuh oleh Raja Cau Seri Bangsa.
iv. Phya Tu Kurub Mahajana (1398-1415M). Baginda asalnya adalah Gabenor Siam Ayuthiya, tetapi melarikan ke Kedah kerana mensabotaj Siam.
v. Phya Tu Antara (Phya Tu Nakpa) (Sultan Ismail Shah) (1415-1500)
vi. Phya Tu Indera (Intira) (Sultan Muhammad Shah) (1500-1530M). Baginda adalah cucu Sultan Mohamad Tahir, Ligor dengan Dewi Cahaya, adinda Phya Tu Nakpa.
vii. Sultan Muzaffar Shah (1530-1564M). Ada pengkaji mengatakan banginda adalah putera Phya Tu Nakpa dan ada yang mengatakan baginda adalah putera Phya Tu Indera.

Mohd Fadli Ghani
Pusat Penyelidikan PAS
29 Syawal 1440 / 3 Julai 2019