Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Bangi
Oleh : PAS Kawasan Bangi
Tak tahulah bila nak memandu secara berhemah. Mungkin bila masuk mahkamah dan dijatuhi hukuman akibat mabuk memandu sehingga mengorbankan nyawa orang baru nak berhenti agaknya.
Jika dilihat semalam, 297 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi beberapa operasi yang dijalankan bermula Jumaat lepas.
JSPT Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Samseng Jalanan, Ops Motosikal dan Ops Pelbagai Kesalahan bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi dengan kekuatan lapan Pegawai Kanan dan 90 Pegawai Rendah bermula pada pukul 9 malam hingga 4 pagi yang diketuai Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Menerusi operasi tersebut, sebanyak 297 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 15 motorsikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, seramai 14 lelaki berusia 25 hingga 64 tahun ditahan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.
14 orang yang memandu sambil mabuk bukanlah bilangan yang sedikit. Kesannya sangat besar jika 14 orang ini memandu di Jalan Raya ibu kota yang sesak dengan rakyat. Macam-macam masalah boleh jadi kepada pemandu yang lain, sehingga membabitkan nyawa pemandu sendiri dan orang lain.
Kami bagi satu bukti jelas:
Terngiang-ngiang pula kisah seorang rider foodpanda yang meninggal dunia tempoh hari meninggalkan balu dan beberapa orang anak yang hilang mata pencarian. Sebegitu malang nasib mereka hanya disebabkan oleh seorang pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab, hilang akal menggilis arwah rider tersebut di sebuah lebuh raya sekitar Lembah Klang.
Tahniah dan terima kasih JSPT. Anda semua telah melakukan tugas yang baik dan cekap. Anda semua berjaya menyelamatkan pemandu yang ada di ibu kota.
“Semoga abang trafik kita dipermudahkan segala urusan”.
Kepada semua, memandulah secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Ikuti kesemua peraturan yang ditetapkan oleh PDRM dan JPJ. Ingat orang yang tersayang dan utamakan keselamatan anda.
Kerana nyawa dan keselamatan anda tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor