Home Berita PAS Sarawak

Pemandu Mabuk: PAS Sarawak Kemukakan Cadangan Penyelesaian

1911
SHARE

Isu arak yang menjadi penyebab individu mabuk dan mengakibatkan kematian bukan perkara baharu. Di mana-mana seluruh dunia, kerajaan telah berusaha untuk menangani kes pemandu mabuk.

Oleh yang demikian PAS Sarawak menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS agar kerajaan segera mengatasi masalah pemandu mabuk.

Dari satu sudut pula PAS Sarawak sangat menghormati hak bukan Islam di Sarawak dimana arak digunakan dalam sesetengah acara atau perayaan mereka.

Dua perkara berbeza tetapi berkaitan perlu kita fahami agar tiada polemik terutama ketegangan kaum dan salah faham agama dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti sesetengah ahli politik bukan Islam. Dua perkara tersebut adalah, bagi umat Islam ianya jelas bahawa arak adalah haram.

Namun, tiada halangan bagi bukan Islam untuk melakukan aktiviti yang berkaitan arak sebagai hak mereka dengan tidak melibatkan orang Islam. Tetapi jika justifikasi hak kemanusiaan digunakan sehingga tiada pembelaan kepada mangsa terutama keluarga si mati, ia juga pelanggaran hak asasi seorang individu untuk mendapatkan keadilan dari sudut undang-undang.

Perkara kedua adalah, penyelesaiaan sepatutnya ditumpukan kepada menyelesaikan masalah pemandu mabuk yang membawa kes maut dan langkah pencegahan kepada terjadinya kes tersebut tanpa prejudis kepada soal melanggar hak kepelbagaian kaum yang langsung tiada kaitan dalam isu ini.

Semua pihak perlu bersama-sama kerajaan memberi cadangan yang tuntas agar kes pemandu mabuk ini dapat dikurangkan serta dihentikan.

Jika semua pihak menggunakan ruang untuk mengambil kesempatan dengan mewujudkan ketegangan kaum, salah faham agama terutama agama Islam, bukan sahaja perkara ini tidak selesai malah keadaan akan menjadi lebih buruk dari masa ke semasa.

Sekali lagi berapa ramai keluarga mangsa kepada pemandu mabuk ini yang akan menanggung derita hanya semata-mata tiada halangan atau sekatan kepada individu yang mengambil arak secara berlebihan dan melampaui batas.

Di negara luar seperti Austaralia, New Zealand, Jepun, negara-negara Nordic dan negara maju yang lain gigih membuat kajian serta langkah pencegahan dan pemulihan.

Sedang negara kita ada parti dan ahli politiknya serta individu kumpulan tertentu yang jauh terkebelakang dengan mencipta polemik kebencian fahaman serta kerukunan antara kaum dan agama.

Di negara-negara terbabit telah berjaya mengurangkan kes kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk dengan solusi pencegahan dan mendidik.

Kerana dua perkara ini sahaja yang akan membawa kepada kelangsungan kehidupan manusia yang lebih sejahtera agar kematian yang dicipta dari kelalaian sendiri tidak terus berlaku.

Oleh yang demikian, PAS Sarawak mencadangkan kerajaan segera membuat penyelesaian kepada isu pemandu mabuk ini antaranya ialah;

1. Memperketatkan garis panduan kepada pusat hiburan, hotel atau premis tertentu yang menghidangkan arak untuk membuat Breath Testing (BT) samaada dengan mobile atau alatan berteknologi yang boleh menyemak Blood Alcohol Concentration (BAC) di pintu masuk dan keluar premis. Random BT di jalan utama oleh pihak polis dilihat lebih menyusahkan anggota keselamatan dan melibatkan kos serta masa.

2. Menarik lesen perniagaan dan operasi premis untuk tidak dibenarkan membukanya lagi sekiranya gagal untuk mematuhi perkara no.1 di atas dan sekiranya pemandu mabuk yang disabit kesalahan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian, lesen premis di mana individu tersebut meminum arak dibatalkan serta tidak diberi untuk selama-lamanya.

3. Menurunkan lagi ambang BAC kepada yang lebih rendah (0.08% sedia ada) untuk mengurangkan risiko pemanduan berbahaya dan membawa maut. Dengan menurunkan level BAC ini sudah tentu kawalan awal untuk tidak membenarkan pemandu mabuk untuk membawa kenderaan dapat diatasi dengan lebih meluas. World Health Organization (WHO) meletakkan piawaian ambang BAC pada tahap 0.05%.

4. Mewajibkan iklan bahaya pemanduan mabuk di premis yang menghidangkan arak sebagai syarat dalam pelesenan premis untuk terus memberi kesedaran kepada orang awam. Kajian ilmiah menunjukan mendidik lebih berkesan daripada menghukum kerana hukuman bukan sahaja tidak berkesan kepada pemandu mabuk untuk tidak mengulanginya lagi dan mewujudkan kes baru, malah akan timbul pula kriminogenik, membawa kepada tahap recidivism yang lebih tinggi.

5. Menambah iklan di media konvensional dan media sosial dengan kempen berperaduan kepada orang ramai agar kesedaran kepada bahaya pemanduan arak ini dapat sampai kepada semua golongan awam secara berterusan sehingga kes menurun.

6. Mewujudkan penggunaan alat pencucuh interlock atau “interlock iginition” di antara pelaku kesalahan berulang kerana alat ini terbukti sangat berkesan untuk mencegah pemanduan minuman semasa dipasang. Perintah mahkamah diperlukan untuk pemandu yang pernah membuat kesalahan dapat mematuhi arahan tersebut.

Cadangan-cadangan diatas adalah hasil penelitian kepada kajian ilmiah di seluruh dunia kepada isu pemanduan mabuk serta implementasi kepada kaedah penyelesaiaan pemandu mabuk oleh negara-negara maju.

PAS Sarawak amat berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan solusi mampan oleh kerajaan. Selain itu, PAS mohon agar rakyat Sarawak tidak salah faham berkanaan isu ini dan jangan mendengar suara yang menghasut agar ketegangan kaum terjadi. Rakyat juga boleh menilai sekiranya pihak yang mengapi-apikan isu pemandu mabuk ini ada mengeluarkan cadangan atau sekadar hanya menyediakan ruang untuk kebencian berlaku.

Zharudin Narudin
Ketua Penerangan PAS Sarawak