Home Berita PAS Melaka

Peluang menyebarkan dakwah kini terbuka luas – Dr Zuhdi

566
SHARE

Oleh : Ahmad Kautsar Md Ali

ALOR GAJAH, 10 Ogos : Kedudukan PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan di Putrajaya pada hari ini adalah satu permulaan kepada dimensi baharu kaedah penyebaran dakwah yang mana ruangnya kini terbuka dengan lebih luas.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Alor Gajah kali ke-33 di INB Resort di sini semalam.

“Para perwakilan harus sedar bahawa kerja dakwah ini tidak harus berhenti setakat kita memperolehi Putrajaya sahaja, bahkan wajib diteruskan sampai bila-bila kerana ianya adalah asas kepada perjuangan semua yang menjadi ahli PAS.” ujar beliau.

Kenyataan Dr. Zuhdi ini disambut dengan laungan takbir perwakilan yang telah menggamatkan suasana mesyuarat agung pada kali ini.

Terdahulu, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin dalam kata-kata aluannya mengingatkan ahli-ahli PAS kawasan ini supaya meneruskan program penyatuan ummah melalui kerjasama yang mantap antara sesama parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang.

Di samping itu beliau juga mengingatkan ahli agar bekerja bersungguh-sungguh dalam satu jemaah melalui organisasi yang tersusun rapi, tanpa meninggalkan dasar perjungan Islam bagi memenangkan MN dan PN dalam pilihanraya yang akan datang.

Rata-rata perwakilan yang ditemui telah menzahirkan semangat yang berkobar-kobar untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi menghadapi PRU15 yang akan datang.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir di dalam majlis perasmian ini ialah Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abd Rahman sebagai wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Ketua Biro Agama BERSATU Alor Gajah, Ustaz Abd Karim Abd Hamid.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)