Home Berita PAS Johor

Pelihara syariat, prasyarat kemenangan

118
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MERSING, 25 Sept : “Segala perintah Allah perlu sentiasa dijaga dalam melaksanakan segala gerak kerja dan usaha kita.

“Prasyarat utama untuk kita menang ialah menjaga segala perintah Allah khususnya tuntutan yang fardhu, jangan diabaikan kewajipan itu.”

Demikian antara kata-kata dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ), Zakiah Tukirin, dalam satu program Pemukiman Jentera Jabatan Pilihan Raya DMPNJ, di sini semalam.

Beliau turut memberi peringatan, sebagai muslimat PAS perlu menjaga adab dan akhlak dalam pergaulan baik sesama kita termasuk juga sesama pihak muslimin.

“Amalan sifat saling bekerjasama, mematuhi segala arahan dan sabar dengan cabaran yang ada juga perlu ditekankan dalam diri,” tambah beliau.

Program berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Pilihan Raya Muslimat Johor (JPRM) telah diadakan selama dua hari di Tanjung Genting Chalet & Camp Site, di sini, berakhir semalam yang melibatkan kehadiran kira-kira 250 peserta daripada semua kawasan.

Pada masa yang sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya DMPM, Sharifah Rashidah Syed Idrus dalam ucapannya juga turut menekankan peranan sebagai muslim.

“Pergantungan kepada Allah itu perlu seratus peratus di samping usaha kerja keras kita yang bersungguh-sungguh, moga bantuan Allah akan tiba.

“Niatkan kerja kita untuk membantu menyebarkan risalah Islam di medan dakwah,” kata beliau.

Sementara itu, pengarah program, Siti Fatimah Awang menyatakan harapan akan penambahan dan pengukuhan skil-skil kemahiran dalam bengkel latihan yang diberi dapat diaplikasikan di kawasan masing-masing.

Beliau yang juga Pengarah JPRM Johor turut mengingatkan para peserta agar dapat memperkemaskan lagi gerak kerja pilihan raya bagi menghadapi PRU 15 yang akan berlangsung tidak lama lagi.