Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pelancaran Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

768
SHARE

Pelancaran Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

16 Julai 2018, Kuala Lumpur : Skuad Prihatin merupakan salah satu produk terbaru yang telah diperkenalkan oleh Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK). Ianya telahpun dilancarkan pada 28 Oktober 2017 di Bandar Tun Razak, Cheras bersempena dengan program Bengkel Skuad Prihatin.

Selaras dengan visi LKK DMPM iaitu untuk memasyarakatkan PAS melalui program kebajikan dan kemasyarakatan, Skuad Prihatin dilancarkan sebagai sebuah penjenamaan (Branding) kepada LKK. Ini bermaksud Skuad Prihatin bukanlah sebuah entiti atau organisasi yang baru, tetapi ianya adalah jelmaan LKK apabila bertemu dengan masyarakat. Dengan membawa nama ‘Skuad Prihatin’, LKK ingin dilihat sebagai sebuah entiti yang sentiasa dekat dan prihatin terhadap masyarakat.

Bengkel Skuad Prihatin yang diadakan pada tahun lepas itu juga telah memberi impak positif kepada semua peserta yang hadir dari seluruh Malaysia. Sehubungan itu, Skuad Prihatin dilihat selangkah ke hadapan bergiat aktif bukan sahaja di peringkat pusat, malah di semua negeri di seluruh Malaysia dengan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan secara konsisten.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh di dalam ucapan beliau sewaktu Program Retreat DMPM yang berlangsung di Permai Hotel Kuala Terengganu pada 6 dan 7 Julai 2018 baru-baru ini, menyarankan kepada semua Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) untuk melancarkan Skuad Prihatin di peringkat Negeri masing-masing.

Justeru, semalam tanggal 15 Julai 2018 berlangsungnya pelancaran Skuad Prihatin bagi Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan yang juga merupakan negeri terawal yang menyahut seruan Ketua DMPM itu.

Skuad Prihatin dilancarkan oleh Ustazah Nuridah sendiri bersempena dengan Muktamar Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan kali yang ke-35 bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) semalam. Dalam majlis pelancaran tersebut, Ustazah Nuridah menyatakan rasa gembira dan bangga beliau terhadap pencapaian Skuad Prihatin sehingga kini.

“Alhamdulillah, semoga Skuad Prihatin akan terus menjadi pasukan yang maju jaya dan akan melonjakkan nama Muslimat PAS”, katanya semasa pelancaran sedang berlangsung semalam.