Home Artikel PAS Pusat

PAS Keluar Dewan Tanda Protes Terhadap Tatacara Pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat

3,944 views
SHARE

1. PAS berpandangan pemilihan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YDP) pagi ini tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 4(1) yang mensyaratkan pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat “dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari mesyuarat”.

2. Hal ini kerana kenyataan media oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan termasuk Menteri-menteri menunjukkan pada 2hb Julai iaitu 14 hari sebelum sidang hari ini tiada keputusan lagi di pihak kerajaan PH untuk menamakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

3. Pada 6hb Julai 2018, Rais Yatim menyatakan kesediaan untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 8 hb Julai pula, Malaysiakini melaporkan bahawa Saifuddin Abdullah selaku Setiausaha Sekretariat PH menyatakan cadangan YDP baru sahaja disenarai pendek dan setiap parti komponen PH telah mencadangkan calon masing-masing.

4. Pada 10hb Julai pula Wan Azizah dalam Malaysiakini menyatakan bahawa SEMALAM pemimpin PH telah memuktamadkan satu nama bagi jawatan tersebut.

5. Pada 11hb Julai pula NSTP melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, menolak tawaran jawatan Speaker Dewan Rakyat dan turut memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia menunjukkan bahawa cadangan Yang di-Pertua Dewan belum dimuktamadkan oleh Pakatan Harapan pada 11hb Julai.

6. Walaupun Setiausaha Dewan Rakyat ketika berucap menyebut bahawa cadangan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dihantar secara bertulis pada 2hb Julai 2018, namun ia tidak disokong oleh fakta-fakta kenyataan Menteri-menteri dalam isu terbabit.

7. PAS menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipatuhi apatah lagi melibatkan pemilihan YDP kerana ia melibatkan keabsahan sidang Dewan Rakyat untuk seterusnya.

8. Pakatan Harapan perlu menonjolkan contoh permulaan yang baik di awal sidang Dewan Rakyat sebagai memenuhi tuntutan mereka selama menjadi pembangkang sebelum ini agar kerajaan mengikut segala peraturan mesyuarat.

9. Berdasarkan asas ini ahli-ahli Parlimen PAS mengambil tindakan keluar daripada Dewan Rakyat pada awal sesi pemilihan YDP sebagai tanda protes dan seterusnya mengadakan sidang media menjelaskan sikap PAS dalam isu tersebut.

Sekian

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin 16hb Julai 2018

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2065465113463508&id=569086473101387