Home Kenyataan Media PAS Perlis

Pelan pemulihan negara selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong

59
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERLIS
PELAN PEMULIHAN NEGARA SELARI DENGAN TITAH KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) menjunjung kasih ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al—Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Kenyataan Media Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja pada 16 Jun 2021.

2. DPPNPs menyanjung tinggi titah baginda yang menekankan semua pihak supaya mewujudkan suasana yang lebih tenang dengan mengurangkan politiking bagi membantu usaha dan fokus kerajaan dalam menjalankan program dan perancangan menangani wabak pandemik COVID-19.

3. Titah ini juga membuktikan bahawa institusi beraja sentiasa mendengar suara hati rakyat yang ditimpa pelbagai beban dan kesusahan, keadaan ekonomi dan sosial yang membimbangkan dalam usaha yang terbaik menghadapi pandemik ini.

4. Ini sejajar dengan komitmen kerajaan yang sentiasa fokus memerangi pandemik Covid-19, bahkan jauh sekali dilihat berpolitiking dalam tempoh ini jika hendak dibandingkan ahli-ahli politik pembangkang cenderung kepada kuasa semata-mata.

5. DPPNPs menyokong sepenuhnya langkah drastik kerajaan dalam mewujudkan Pelan Pemulihan Negara serta seharusnya ini mendapat sokongan semua pihak.

6. Jika dilihat pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kemajuan yang memberangsangkan dengan pemberian melebihi 200,000 dos suntikan sehari telah dicapai dan dijangka akan mencapai target 80% rakyat sudah divaksin pada Oktober ini.

7. Ini selaras dengan 4 fasa Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bagi tujuan pengurusan semasa krisis kesihatan dan pembangunan semula ekonomi dan sosial negara pasca krisis.

8. Dalam menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DPPNPs juga berharap agar semua pihak akan lebih matang dan profesional untuk menggunakan ruang dan peluang perbahasan dalam persidangan parlimen yang akan dilaksanakan kelak.

9. DPPNPs menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama menyokong Pelan Pemulihan Negara supaya Malaysia berjaya bebas daripada belenggu pandemik COVID-19.

Yang benar,
MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis
20 Jun 2021 | 9 Zulkaedah 1442H