Oleh MOHD AJMAL
AMMAN, 5 Dis – Seramai 146 anak Kedah terpilih melanjutkan pelajaran di empat universiti di Jordan. Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan rasa syukur dan berharap pelajar dapat menuntut ilmu bersungguh-sungguh sepanjang berada di Jordan yang telah melahirkan ribuan cendekiawan bagi dunia Islam.
“Saya bertuah dapat mengunjungi dua negara yang menjadi antara pembekal modal insan berguna, negara kilang menghasilkan para ulama dan cendiakawan bagi negara kita iaitu Mesir dan Jordan. Saya amat berharap peluang belajar di sini dapat diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya, ulas Menteri Besar.
Menteri Besar bersama delegasi Kerajaan Negeri Kedah menyantuni anak Kedah dalam Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Kedah bersama Mahasiswa Kedah di Hotel Gerasa, Jordan.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan peranan pelajar apabila pulang ke tanah air agar berkhidmat menyampaikan ilmu membina modal insan membangunkan negara dan menyambung urusan dakwah dalam kalangan masyarakat mengikut kesesuaian suasana di Malaysia.
“Dengan usaha para pelajar menuntut ilmu dan menjana kebijaksanaan, saya yakin pelajar-pelajar di sini akan dapat membantu membina masyarakat yang celik dan terbuka di masa akan datang,” ujarnya.
Haji Sanusi menasihati pelajar untuk berusaha menamatkan pengajian mengikut waktu yang sepatutnya agar dapat segera pulang berbakti di samping menjimatkan kos pengajian yang ditanggung keluarga.
Maklumnya, ada keperluan serta urusan yang terpaksa ditangguh dan dikorbankan oleh keluarga demi mendahulukan wang belanja kepada anak yang belajar di perantauan.
“Seperti yang dimaklumkan Duta Besar sebentar tadi, kos sara hidup kian meningkat termasuklah di negara Jordan ini. Saya nak pesan kepada anak-anak agar berjimat-cermatlah dalam perbelanjaan di sini kerana saya yakin ramai disini yang keluarganya bukan golongan kaya. Keluarga kita dah banyak berkorban untuk kita sampai belajar di sini,” tambahnya lagi.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jordan, Tuan Yang Terutama Datuk Jilid Kuminding, Exco Pembangunan Insan, YB Dato’ Hajah Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali, Ketua Polis Negeri Kedah, Dato’ Kamarul Zaman Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman dan Pengerusi Yayasan Islam, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman