KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
29 JUMADAL AKHIRAH 1441H l 23 FEBRUARI 2020
PECAT PEGUAM NEGARA, MALAYSIA BUKAN “SARANG” MEREKRUT PENGGANAS
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sekeras-kerasnya keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memberhentikan prosiding terhadap 12 individu tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan berkaitan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang berkuatkuasa serta merta pada 21 Februari 2020 yang lalu.
2. Keputusan itu menyaksikan Peguam Negara secara langsung mencampuri urusan Kementerian Dalam Negeri dan mencabar kewibawaan pihak polis serta agensi keselamatan berkaitan kerana sebelum ini penangkapan 12 tertuduh yang ditahan di bawah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan adalah berdasarkan pertuduhan mereka dalam memberikan sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.
3. Amat mengejutkan apabila pertuduhan yang jelas dan sarat dengan bukti hubungkait 12 tertuduh dengan kumpulan militan LTTE dibebaskan begitu sahaja tanpa diheret ke perbicaraan mahkamah. Adakah Peguam Negara memilih kes-kes tertentu yang melibatkan kepentingan politik? Jika benar, maka Peguam Negara telah merosakkan imej institusi kehakiman serta mendedahkan negara Malaysia kepada bahaya dan ancaman keselamatan.
4. Sehingga kini menerusi Kenyataan Media Menteri Dalam Negeri menegaskan kumpulan LTTE masih dalam senarai kategori kumpulan pengganas di sisi Malaysia serta beberapa negara lain. Implikasi dari keputusan Peguam Negara bakal menjadikan Malaysia sebagai “sarang” merekrut pengganas yang membawa ideologi yang diimport dari Sri Lanka. Perkara ini sangat serius dan tidak boleh dipandang enteng.
5. DUPP selama-lamanya sangat bertegas dalam mementingkan isu keamanan dan keselamatan negara terasa sesuatu yang tidak kena dalam isu ini dan melihat wujudnya campurtangan politik yang tidak bertanggungjawab dengan membebaskan 12 tertuduh yang mempunyai kaitan bersama LTTE tersebut.
6. DUPP mendesak agar Peguam Negara dipecat demi keselamatan negara serta Malaysia tidak dijadikan sasaran bagi sarang merekrut pengganas. Kesalahan yang dilakukan oleh Peguam Negara sangat besar implikasinya ditambah lagi kewibawaannya sepanjang perjawatan selaku Peguam Negara sangat mendukacitakan termasuklah dalam isu inkues allahyarham Mohamad Adib, anggota bomba dan penyelamat yang terbunuh dalam rusuhan kuil yang sehingga kini masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.
Firman Allah SWT :
أَلَا تُقَـٰتِلُونَ قَوۡما نَّكَثُوۤا۟ أَیۡمَـٰنَهُمۡ وَهَمُّوا۟ بِإِخۡرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٍۚ أَتَخۡشَوۡنَهُمۡۚ فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَوۡهُ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ
Maksudnya :
“Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?” – [Surah At-Tawbah 13]
Sekian.
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)