Home Berita PAS Kedah

PBT diseru jadi medium rujukan rakyat

128
SHARE
Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 11 Nov – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan satu institusi barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PBT perlu menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat serta menjadi sumber rujukan di setiap kawasan yang diamanahkan.

“Pelantikan 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada wakil ahli politik dan beberapa agensi kerajaan bagi setiap PBT dapat membantu di dalam penggubalan dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT.

“Ahli Majlis bukan sahaja menjadi rujukan bagi masyarakat atau penyebar dasar dan matlamat kerajaan, bahkan menjadi medium mewakili kepentingan masyarakat setempat. Dalam erti kata lain, Ahli Majis bertindak selaku jambatan penghubung rakyat dan kerajaan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Executive Talk Perundangan Perancangan (Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172]) Bersama Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Kedah Sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2021 Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel, di sini hari ini.

Katanya, Ahli Majlis dan PBT memberi tumpuan dan kefahaman yang baik tentang undang-undang yang berkaitan agar dapat memberi kefahaman yang maksimum seiring hasrat “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Kerajaan Persekutuan.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Bandar Mampan Tahun 2020 kepada Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Bandaraya Kulim, Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Majlis Bandaraya Kubang Pasu dan Majlis Daerah Sik.

Pada perkembangan yang sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri dalam usaha merangka pelan pemulihan dan pembangunan semula kawasan banjir khususnya di Yan dan Daerah Kuala Muda.

“Tanggal 18 Ogos 2021 telah mencatatkan detik duka kepada negeri Kedah khususnya Daerah Yan dan Daerah Kuala Muda yang terlibat dengan fenomena kepala air dan banjir lumpur yang telah mengorbankan enam nyawa dan mengakibatkan lebih 2,000 penduduk terjejas terutamanya di beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai.

“Pihak kerajaan negeri sedang merangka program pemulihan dan pembangunan semula kawasan ini melalui satu kajian khas iaitu Pelan Induk Pembangunan Semula Titi Hayun oleh PLANMalaysia@Kedah,” maklum Haji Sanusi.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”