Home Kenyataan Media PAS Perlis

Patuhi syariat, undang-undang ketika berniaga sepanjang bulan Ramadan

18
SHARE

 

AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PERLIS
KENYATAAN MEDIA

PATUHI SYARIAT, UNDANG-UNDANG KETIKA BERNIAGA SEPANJANG BULAN RAMADAN

Demi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada rakyat khususnya para peniaga sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan pengoperasian bazar-bazar Ramadan di beberapa buah lokasi terpilih di seluruh negeri ini.

Kerajaan negeri, melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menyediakan sebanyak empat buah tapak bazar Ramadan iaitu di tapak pasar malam Kangar (119 lot), Taman Kemajuan (71 lot), tapak pasar malam Arau (220 lot) dan tapak pasar malam Kuala Perlis (45 lot).

Selain itu, sebanyak tujuh lokasi bazar Ramadan yang diselia oleh agensi luar/swasta turut diberi kebenaran beroperasi iaitu di Mata Ayer (25 lot), Dataran Persiaran Wawasan (300 lot), Perkarangan Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah (20 lot), tapak berhampiran Masjid Muhammadi, Sungai Adam Jejawi (40 lot), Dataran ABC MAIPs Kangar (20 lot), Pasar Tani Simpang Empat (46 lot) dan jalan susur Berhampiran Pusat Koreksional Perlis (10 lot).

Para peniaga adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuklah tidak menyewakan tapak jualan kepada pihak ketiga yang boleh mengakibatkan pembatalan lesen serta tindakan undang-undang.

Selain itu, para peniaga juga diminta supaya menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada pelanggan manakala lebihan makanan yang dijual pula dicadangkan supaya disedekahkan kepada golongan yang memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

Bersempena dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini juga, kerajaan negeri turut menyeru semua lapisan masyarakat agar sentiasa memelihara solat dan batasan aurat di samping menjaga adab pergaulan demi kemaslahatan bersama.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“PERLISKU BESTARI BERKAT LESTARI”

YB ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Negeri Perlis