Home Berita PAS Terengganu

Patit Toyo ‘Si Gedik’ kini di Primula

115
SHARE

KUALA TERENGGANU – Patit Toyo sejenis kuih yang boleh dikatakan ‘rare’ atau jarang dijumpai, kini boleh dinikmati di Primula Beach Hotel sepanjang bulan Ramadan kali ini.

Tekstur kuih yang ‘gedik’  dan lembut diperbuat daripada sagu, gula dan dimakan dengan tahi minyak memberikan rasa nikmat bagi penggemarnya dan satu pengalaman baru kepada mereka yang baru mencuba buat kali pertama.

Pengurusnya, Suaibah Harun berkata kuih Patit Toyo menjadi salah satu hidangan yang ditampilkan bagi mengembalikan nostalgia menu-menu lama disamping memberi peluang terutama kepada generasi muda untuk menikmatinya.

Katanya, pemilihan kuih tradisi itu bertujuan untuk mempromosi serta menaikkan semula populariti makanan warisan dan hampir pupus di Terengganu yang mungkin tidak dikenali generasi sekarang.

“Saya bimbang kalau semakin ramai yang tidak tahu membuat kuih-kuih tradisional ini lama-lama ia akan hilang begitu saja.Oleh itu, pihak hotel mengambil inisiatif ini untuk mengembalikan makanan tradisi sebagai hidangan pencuci mulut di restoran kami.

“Terdapat banyak kuih muih Tradisional yang sedap ada juga kuih-kuih lama ni yang namanya pelik dan mengerikan. Tapi jangan risau, rasanya memang sedap dan sangat berbeza dengan manisan moden yang biasa kita makan,”katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambahnya, sebaiknya dalam budaya makanan, kita perlu mencontohi masyarakat Jepun yang sentiasa berbangga dan memperkasakan sajian warisan meskipun bergelar negara maju.

Beliau pasti, usaha dan sokongan dari semua pihak ini sekaligus akan dapat membantu memartabat dan menjaga kelestarian sajian makanan warisan dan hampir pupus agar tidak lenyap ditelan zaman.

Sementara itu, Sous Chef,  Engku Azhari Engku Muda yang pakar dalam menyediakan menu masakan Terengganu berkata minat dalam penyediaan kuih muih tradisi tidak dapat dipisahkan dalam dirinya.

“Saya akan menggunakan segala kemahiran yang ada untuk mencari gali menu-menu tradisi yang semakin pupus dan mengembalikannya di meja hidangan hotel kami untuk dinikmati kembali,”ujarnya.