Home Berita PAS Terengganu

Kes keracunan kerana Puding Buih sedang disiasat – JKNT

81
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menyiasat kes dua beradik yang mengalami cirit birit dan muntah selepas dipercayai memakan puding buih dibeli di bazar Ramadan Rabu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak (lelaki dan perempuan).

Katanya, sampel itu akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

“Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Dr Kasemani turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli juadah yang dijual sepanjang Ramadan bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

Beliau berkata, kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan perlu menjadi amalan terutama masakan yang menggunakan telur sebagai antara ramuannya.

Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik di sini, mengalami cirit-birit dan muntah pada 4 pagi dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh pada 6 petang, Rabu lalu.

Kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.