Home Berita PAS Pahang

PASTI, SRITI Bentong rangkul berbagai anugerah Hari Guru Dewan Pemuda PAS Pahang 2024

117
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 20 Mei – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Bentong merangkul tiga anugerah di dalam majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Pahang 2024 yang berlangsung di sebuah pusat beli belah di sini kelmarin.

Anugerah Saidatina Aisyah PASTI Negeri Pahang 2024 disandang oleh Tokoh Guru PASTI Pahang 2018, Noraniza Mohd Jaafar dari PASTI Al-Falah, Bentong.

Noraniza yang juga merupakan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong menerima hadiah pakej mengerjakan umrah tajaan Jabatan PASTI Negeri Pahang selain plak dan sijil.

Sementara Cik Kamalia Othman dari PASTI Al-Ikhwan Mempaga pula menjulang anugerah Guru Inovatif PASTI Negeri Pahang 2024 dan Anugerah Tokoh Guru Cemerlang Kawasan.

Beliau yang juga menjuarai (Johan) pertandingan alat bantu mengajar PASTI 2023 dan 2024 membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM300, sijil beserta plak penghargaan.

Manakala Nor Hafizah Mohamad dan Zulfazli Ab Mahsim masing-masing dari Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Abrar, Bentong pula merangkul Anugerah Guru Terbaik dan Anugerah Sedia Berkhidmat 2024.

Dengan tema ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’ majlis gilang-gemilang ini dirasmikan Pengarah Jabatan SRITI Malaysia merangkap Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Azwan Ali Aziz.

Sambutan yang julung kali diadakan secara terbuka ini bertujuan meraikan para guru yang telah banyak bekorban menyampaikan ilmu mendidik anak-anak daripada peringkat awal sekolah hinggalah ke peringkat rendah dan menengah.

Kemuncak acara adalah penganugerahan Tokoh Guru PASTI Pahang 2024 kepada Nurul Ainon Mardiah Abdul Ghani dari PASTI Al-Mustaqim, Bera.