Home Berita PAS Pahang

“Kami reda dengan ketentuan-Nya”

61
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 21 Mei – Tiada kata lebih sempurna bagi seorang bapa mengungkap pemergian anak lelaki tercinta selain reda dan berlapang dada menerima segala ketentuan-Nya.

“Sudah tentulah sedih, tapi kena terima pemergiannya. Sudah ketentuan Allah”.

Demikian luah ‘Abang Mad’, 65 atau nama sebenarnya Ahmad Said Md Piah, bapa kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq, yang terkorban dalam serangan lelaki tidak dikenali di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Jumaat lalu.

Menurut Abang Mad, kali terakhir beliau dan isteri bertemu Allahyarham pada Februari lalu dan anak ketujuh daripada lapan beradik itu bercadang untuk pulang semula bertemu mereka dalam dua bulan lagi.

Tambah pesara tentera Rejimen Askar Melayu Diraja itu lagi, tiga anaknya yang lain juga merupakan anggota keselamatan dimana dua daripadanya bertugas sebagai tentera dan seorang lagi merupakan anggota polis.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Seri Mahkota Jaya petang semalam sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap ahli keluarga Almarhum.

Selain Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah itu, rombongan PAS Pahang turut disertai Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor,ADN Pulau Manis, Rafiq Khan, wakil ADN Tanjung Lumpur, Ahmad Fazil serta saudara Fitry Abdullah, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang.

“Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas ujian kehilangan ini. Semoga diberikan kekuatan dan rahmat oleh Allah SWT.,”ujar Andansura.