Home Berita PAS Pahang

Institusi pendidikan PAS berkembang maju di bawah pimpinan Guru Murabbi

150
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 19 Mei – ‘Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’ adalah tema Hari Guru bagi semua institusi pendidikan PAS di seluruh negara iaitu Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

“Tema ini digunakan sebagai satu aspirasi yang sama misi dan visinya supaya institusi pendidikan dapat bergerak dalam satu ketumbukan atau satu kesepaduan di bawah Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS,” kata Pengarah Jabatan SRITI Malaysia Ustaz Azwan Ali Aziz ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Majlis Sambutan Hari Guru Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS di ruang legar Kuantan Parade di sini semalam.

Beliau mengupas konsep murabbi bukan sahaja mengajar tetapi adalah mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajarinya.

Tambahnya, dalam erti kata lain Guru Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

“Jika kita meniliti dan mendalami sistem dan falsafah pendidikan PAS itu sendiri, lebih 2,509 buah PASTI, 154 buah SRITI dan 15 buah SMITI di seluruh Malaysia sedang dan telah pun dilaksanakan untuk menghasilkan generasi rabbani dari bimbingan guru murabbi.

“Sebagai contoh, bagi SRITI, jumlah murid pada tahun ini telah hampir mencecah angka 26 ribu orang di seluruh Malaysia dan angka ini dijangka akan terus berkembang sehingga ke 30 ribu menjelang dua tahun lagi.

“Justeru, Ini membuktikan ibu bapa telah percaya dan yakin dengan sistem yang dibangunkan oleh instituisi PAS,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, menyeru guru-guru agar sentiasa bersedia memperkemaskan diri dengan  ilmu dan kemahiran dalam dunia pendidikan seiring dengan kecanggihan sains dan teknologi moden agar peranan guru akan kekal relevan di sepanjang masa.

Program itu yang dihadiri lebih dari 750 orang guru telah dimulakan dengan kuiz online, anugerah kepada warga pendidik serta cabutan bertuah yang antara menarik hadiah tersebut adalah tajaan umrah, motorsikal dan basikal.