Home Artikel PAS Sabah

PASTI Sandakan Selesai Bentuk Jawatankuasa JIBG.

120 views
SHARE

Oleh : Mohd Ramlan Pandi
12 Februari 2018

SANDAKAN : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan telah selesai membentuk jawatankuasa Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) di 13 buah premisnya dengan PASTI Zubair Al-Awwam selaku PASTI terakhir membentuknya.

Mesyuarat terakhir pembentukan yang diadakan pada Ahad lalu di Kampung Kenangan Manis itu juga diadakan beberapa minggu yang turut dihadiri oleh Majlis Tertinggi PASTI Sandakan.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengurus PASTI yang merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa yang sudi untuk menghadirkan diri dalam mesyuarat kali pertama JIBG pada tahun ini.

Seterusnya ucapan turut disampaikan oleh Pengerusi PASTI kawasan Sandakan, Heryanto Ladatih.

Di dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya pendidikan awal Islam kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak ini mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh.

“Kami juga mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada ibu bapa untuk meningkatkan lagi prestasi PASTI Sandakan pada masa akan datang,” tambahnya.

Seorang wakil daripada ibu bapa, Muhammed Armadi menyatakan rasa terima kasih atas wujudnya PASTI di Sandakan dan menekankan kerjasama antara ibu bapa dan pengurusan amat penting kearah kecemerlangan PASTI.

Pelbagai agenda telah dibincangkan sepanjang mesyuarat berlangsung, antaranya perlantikan jawatankuasa JIBG 2018, pembentangan kewangan dan perancangan aktiviti sepanjang 2018.

Diharapkan mesyuarat ini peroleh keberkatan dan kerjasama dari JIBG dapat diteruskan bagi menjamin pengurusan yang lebih sistematik dan PASTI mampu pergi lebih jauh ke hadapan.