Home Berita PAS Perak

Pasti Nurul Haq tampil juara Sukaneka Pasti Bukit Gantang

332
SHARE

Oleh : Ez

BUKIT GANTANG , 28 Ogos : Sebanyak 16 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah mengambil bahagian dalam Temasya Sukaneka PASTI Bukit Gantang yang diadakan di Padang Awam Taman Indah,Pengkalan Aur di sini, semalam.

Temasya penuh warna warni yang melibatkan hampir 500 orang murid dari seluruh PASTI Bukit Gantang itu telah mempertandingkan 16 acara murid berlainan kategori disamping acara ibu, acara bapa dan acara terbuka.

Antara acara yang dipertandingkan ialah Kira 5 Permata Masuk Dalam Botol,Lari Pecut 50 meter, Lari Berganti-ganti , Tarik Botol Dengan Gelung Rotan , Isi Air Dalam Botol ,Bawa Pundi Kacang , Butangkan Bajuku dan Tiup Belon.

Pengerusi Pasti Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah melahirkan rasa sukacita kerana acara pada tahun ini sungguh meriah setelah 2 tahun tidak dapat diadakan kerana Covid -19.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada PASTI.

“Saya juga ingin memohon maaf jika adanya kekurangan dalam penganjuran kali ini. In shaa Allah penganjuran pada tahun hadapan akan diadakan dengan lebih meriah lagi,” ujar ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang program tersebut.

Sukaneka ini telah dirasmikan oleh YDP PAS Bukit Gantang, Haji Rahim ismail yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Bukit Gantang ,Zu Hazmin Badri.

Temasya yang berlangsung sehingga jam 12.30 tengah hari itu, menobatkan PASTI Nurul Haq,Taman Mewah sebagai Juara Keseluruhan apabila berjaya mengumpul mata terbanyak berbanding PASTI yang lain.