Home Berita PAS Pahang

PASTI Luqman Al-Hakim juarai Kejohanan Bola Sepak PASTI Indera Mahkota

364
SHARE

Oleh : KHASDI KOSMIN

SEMAMBU, 3 Julai :: Kejohanan Bolasepak dan Bola Jaring PASTI Kawasan Indera Mahkota tahun 2022 telah diadakan di Sungai Ular, Kuantan semalam.

Kejohanan tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu yang juga Yang Dipetua (YDP) PAS Kawasan Indera Mahkota.

Kejohanan yang telah dua tahun tertangguh akibat Covid-19, diadakan semula dengan lebih meriah kerana 19 pasukan PASTI kawasan Indera Mahkota telah menyertainya.

Dalam perlawanan itu, PASTI Luqman Al-Hakim (PLAH), Kampung Padang telah berjaya meraih kemenangan sekaligus membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang mantap dan kental yang telah bersedia bagi mengharungi kejohanan ini.

Menurut jurulatih (PLAH) Muhammad Ali Hanafiah, beliau telah merangka siri-siri latihan secara intensif dan juga perlawanan persahabatan.

Ketua Pasukan PLAH Abdullah Hafizh Syahrier telah berjaya membuktikan semangat kerjasama berpasukan sekaligus telah mencatit sejarah pertama kali buat PLAH hasil dari kerjasama dan komitmen yang telah diberikan oleh semua guru, staf dan Ahli Lembaga Pengurus (ALP) serta Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) demi mencapai kejayaan ini.

Sementara itu Guru Besar PLAH Rahmah Ahmad melahirkan rasa gembira dan menyatakan bahawa semangat tidak kenal putus asa dan melakukan yang terbaik, menjadi azimat yang kuat untuk pasukan ini mengharungi kejohanan yang sengit.

Kejayaan PLAH turut mendapat penghargaan daripada Ketua Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota Ustaz Zulfadhli Zakaria, dan mengharapkan agar PLAH terus berjaya menjadi juara dalam kejohanan seterusnya mewakili PASTI kawasan Indera Mahkota bagi acara bolasepak hingga ke peringkat Negeri Pahang.