Home Berita PAS Sabah

PASTI Lahad Datu sapu bersih Kejohanan BSBJ Zon Pantai Timur

111
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
27 Jun 2022

LAHAD DATU : Kontijen PASTI Lahad Datu menyapu bersih ke semua anugerah Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Zon Pantai Timur di Padang Jabatan Kerja Raya, Kinabatangan, semalam.

Kejohanan ini disertai oleh tujuh buah PASTI, tiga daripada Kinabatangan dan empat lagi Lahad Datu.

PASTI yang mewakili Lahad Datu dalam kedua acara tersebut, telah berjaya membolot gelaran johan, naib johan, tempat ketiga dan pemain terbaik.

Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan berpuas hati dengan pencapaian kontijen PASTI Lahad Datu yang dihantar bagi mewakili kejohanan tersebut.

“Usaha guru-guru dan ibu bapa yang tidak jemu melatih pelajar sebelum kejohanan ini berlangsung akhirnya membuahkan hasil pada hari ini,” ujarnya sewaktu ditemui.

Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Innah Tuton. Hadir bersama Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Sabah merangkap Pengerusi PASTI Kawasan Kinabatangan, Jumaidin Lakalla dan Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Abdul Aziz Baitulmakmur.

Bagi acara bola sepak, johan dimenangi oleh PASTI Al-Hidayah. Adik Mohd Amin Asyraf Massa dinobat sebagai pemain terbaik manakala penjaring terbanyak, adik Mohd Aqief Muzaffar Abdul Malik, kedua-duanya daripada PASTI Al-Hidayah.

Selain itu, bagi perlawanan bola jaring pula, johan telah dimenangi oleh PASTI An-Najah. Adik Nurul Syazliyani Aqinie Suwardi daripada PASTI Al-Falah telah dinobat sebagai pemain terbaik dan penjaring terbanyak Huurun Ain Nadia Yassin daripada PASTI An-Najah.

PASTI Al-Hidayah dan PASTI An-Najah akan mewakili Zon Pantai Timur ke Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI peringkat negeri di Tawau.