Home Berita PAS Sabah

PAS rangka strategi dakwah di bumi Sabah

75
SHARE

Oleh : Salman Darwis                                            27 Jun 2022

KOTA KINABALU : Jemaah Islam PAS, politiknya adalah politik dakwah. Setiap entiti dan gerakan dalam PAS tidak boleh mengasingkan politik daripada budaya dakwah dan tarbiyah.

 

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata demikian dalam Majlis Penutupan Multaqa Dakwah PAS Negeri Sabah di sini semalam.

“Seseorang pendakwah itu sepatutnya meletakkan petunjuk kepada kejayaan dakwah mereka bukan sahaja ketika mad’u boleh mengucap syahadah tetapi apabila dia boleh penyokong ataupun pendokong kepada perjuangan dakwah Islam,” ujar beliau lagi yang juga ADUN (dilantik) Sabah.

Program yang berlangsung di Masindung Resort, Papar telah ini menghimpunkan seramai 100 orang pendakwah dan wakil NGO bagi membincangkan hala tuju dakwah di negeri Sabah.

Program yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi ini, telah menyusun beberapa slot bagi mengisi masa selama dua hari bermula Sabtu.

Antara intipati program itu adalah dengan membincangkan hala tuju kluster dakwah, cabaran dan harapan, pembentangan Gagasan Fiqh Sabahi, diakhiri dengan ‘Town Hall’ : Pengalaman dakwah dalam kepelbagaian budaya dan etnik di Sabah.

Menurut Pengarah Multaqa Dakwah PAS Negeri Sabah merangkap Pengarah Jabatan Dakwah Negeri Sabah, Ustaz Tarmizi Mohd Yahya, lima resolusi telah dihasilkan bagi melancarkan lagi gerakan dakwah di negeri ini.

“Lima resolusi ini akan digunapakai oleh PAS Sabah bagi merancakkan dan melancarkan lagi gerakan dakwah yang bukan sahaja dilakukan di bandar-bandar tetapi juga di seluruh pelusuk negeri Sabah ini,” tambah Tarmizi.

Turut hadir dalam majlis penutupan ini adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat (Kluster Sabah), Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Sabah, Ustaz Muhammad Akmal Othman dan Yang Dipertua PAS Papar, Haji Abdul Salim.