Home Berita PAS Melaka

PASTI AL-MANAR : 12 TAHUN MELAKAR KECEMERLANGAN

1110
SHARE

Oleh: Ibnu Shah

ALOR GAJAH : PASTI Al-Manar telah menganjurkan Hari Anugerah Kecemerlangan tahun 2019 di premis PASTI Al-Manar, Rumah Awam Rembia pada Ahad, 17 November lepas.

Majlis ini dirasmikan oleh Pengerusi Jabatan Pembangunan Pelajar/Remaja Dewan Pemuda PAS Alor Gajah, Mohamad Firdaus Shahudin.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata kepercayaan masyarakat kepada PASTI perlu dipelihara dengan memastikan 4 elemen penting tarbiah sentiasa diperhatikan dan diambil berat iaitu murabbi (guru), mutarabbi (murid), manhaj (sistem) dan biah solehah.

“Kepercayaan masyarakat kepada PASTI dapat dibuktikan melalui peningkatan pendaftaran murid pada 2019 di negeri Melaka iaitu peningkatan sebanyak 22.8% iaitu seramai 4,275 murid berbanding tahun 2018 seramai 3,400 murid.” ujar beliau.

Sebelum itu di dalam ucapan aluan pengurus PASTI Al-Manar, Dr Asri Mohamad, berkata PASTI Al-Manar telah mencapai pelbagai kecemerlangan dalam masa 12 tahun penubuhannya dan kecemerlangan ini disumbang oleh kerjasama erat ibu bapa, guru-guru dan masyarakat setempat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada adik Wan Aisy Rifqi Wan Akma Azahari dan adik Muhd Irfan Rayyan Riduan di atas pencapaian cemerlang masing-masing.

Adik Wan Aisy Rifqi Wan Akma Azahari berjaya mendapat tempat pertama di dalam Ujian Kecemerlangan IQ Peringkat Alor Gajah kategori 6 Tahun sementara adik Muhd Irfan Rayyan Riduan diatas kejayaan terpilih sebagai pemain pelapis terbaik bola sepak negeri Melaka.

Selain merasmikan majlis ini, Mohamad Firdaus Shahudin turut menyampaikan anugerah kepada murid-murid PASTI Al-Manar yang telah berjaya menerima anugerah mengikut kategori masing-masing.