Home Berita PAS Pahang

PASKIM cakna dan prihatin mangsa banjir

72
SHARE

OLEH: KASDHI KOSNIN

INDERA MAHKOTA, 21 Dis. ::  Impak musim tengkujuh dan ribut tropika yang melanda negara sejak beberapa hari lalu menyebabkan para penduduk tidak dapat lari dari kejadian rumah dilanda angin kuat, dimasuki air dan pelbagai lagi kesan bencana alam yang terjadi.

Tanggal 17  Disember 2021 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh Siti Noorehan Mat Husin sekeluarga  yang tinggal di Taman Pelindung Perdana Beserah dekat sini, kerana berlakunya kejadian air yang berlumpur dan sangat kotor membanjiri rumahnya.

Pada hari kejadian, suaminya tiada di rumah kerana bekerja di luar negara dalam tempoh satu bulan. Yang tinggal bersamanya adalah anak-anak, ibu, adik serta abangnya.

“Apabila air telah mula naik sehingga ke paras pinggang pada pukul 4 pagi, kami mendapat arahan dari Jawatankuasa Surau Taman Pelindung Perdana, agar meninggalkan rumah, maka kami telah menumpang di rumah jiran yang tidak dinaiki air sementara mencari homestay pada keesokan harinya,” kata Siti Noorehan.

Beliau yang juga ibu kepada tiga orang anak, berasa sangat sedih apabila mendapati rumahnya telah disaluti dengan kotoran lumpur yang agak tebal, yang memang sukar untuk dia membersihkannya tanpa ada tenaga suami yang membantu.

“Alhamdulillah, dalam keadaan orang yang mengantuk disorongkan bantal, tiba-tiba Ahli Jawatankuasa Surau taman ini menawarkan perkhidmatan cuci rumah oleh Jabatan AMAL, maka saya telah bersetuju untuk menerima tawaran tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Jabatan AMAL Indera Mahkota di atas usaha yang telah dilakukan yang begitu cakna dan peka serta prihatin akan masalah rakyat dan mengharapkan agar kerja-kerja kebajikan ini akan terus berjalan di masa-masa yang akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota Ustaz Zulfadli Zakariah berkata Jabatan AMAL sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat terutama dalam menangani kesan-kesan bencana sejak dari awal musibah melanda.

Mereka membantu penduduk di semua tempat yang mengalami bencana, untuk meringankan beban mangsa dengan mencuci  membaiki dan membina rumah-rumah mangsa.

Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota, Azmoni Mohamad yang turut sama dalam operasi cuci rumah berkata, aktiviti sebegini selain dapat meringankan beban masyarakat yang ditimpa musibah banjir, ianya juga sebagai kerja-kerja kebajikan yang digalakkan dalam Islam, disamping mengeratkan hubungan silaturahim PAS dengan masyarakat.

Turut sama dalam operasi cuci rumah ini selain dari anggota Jabatan AMAL Indera Mahkota adalah juga Bridged PAS Kawasan Indera Mahkota dan HELWA Care Kuantan.