Home Berita PAS Wilayah

PAS Untuk Semua, PAS Ada Semua

693
SHARE

<<PemudaPASBatuMind#13>>

PAS UNTUK SEMUA, PAS ADA SEMUA

1. Sehari dua ini, banyak pihak yang kurang senang dan ada yang melenting dengan pendirian PAS dalam Pilihanraya Kecil DUN Sg Kandis, walaupun jelas PAS tidak meletakkan calon di kerusi tersebut.

2. Perlu dijelaskan bahawa dasar PAS [1] ialah Islam dan tujuan PAS [2] ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3. Atas sebab utama inilah PAS lebih cenderung dan sensitif dengan isu melibatkan hukum-hakam agama, masalah sosial, kedaulatan raja dan seumpamanya tanpa mengenepikan isu-isu pentadbiran negara yang melibatkan nilai integeriti.

4. Dengan hujah yang sama, saya ingin mengajak seluruh masyarakat agar mengenal PAS bukan hanya sebagai parti politik. PAS dengan dasar dan tujuan yang disebutkan di atas terus berjuang dan menabur bakti dalam agenda pendidikan, kesukarelawanan, kebajikan masyarakat, sukan & kesenian, latihan profesional dan banyak lagi.

5. Dalam sektor pendidikan, Pemuda PAS telah berjaya mewujudkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebagai medium pembentukan generasi Muslim yang berumur 4 hingga 6 tahun. Kini jumlah PASTI seluruh Malaysia adalah 2,383 buah dengan lebih 120,000 murid pada 2018. Terbaru, satu lagi produk pendidikan yang dipamerkan oleh Pemuda PAS adalah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) bagi anak-anak dari tahun 1 hingga tahun 6.

6. Tidak hanya itu, Pemuda PAS juga mempunyai pasukan beruniform yang berkhidmat secara sukarela dalam aspek kebajikan iaitu Jabatan AMAL Malaysia (JAM). JAM sendiri pada hari ini mempunyai pakar-pakar mahir seperti pasukan medik, marin, trafik, radio amatur dan banyak lagi serta alat kelengkapan tersendiri seperti bot penyelamat, ambulan, van jenazah dan pelbagai jenis pacuan 4 roda untuk kegunaan misi-misi bantuan bencana dan kemanusiaan.

7. Selain itu, Pemuda PAS juga tidak pernah melupakan anak-anak muda yang berminat dengan pelbagai sukan dan kesenian, melalui Department Of Art, Culture & Sports (DACS), pelbagai kelab telah ditubuhkan dan mempunyai keahlian tersendiri seperti Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), kelab-kelab bola sepak dan futsal selain penganjuran kejohanan-kejohanan sukan di seluruh Malaysia.

8. Bakat-bakat profesional anak muda tidak pernah disisihkan oleh Pemuda PAS, anak-anak muda dalam bidang medik, ekonomi, tokoh korporat, ahli sains, para profesor dan pelbagai bidang lagi dikumpulkan dalam satu kumpulan khas di bawah Jabatan Profesional Muda (J-Pro). Para peguam muda pula diberi mandat untuk menggerakkan Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) bagi menabur bakti dalam bidang perundangan.

9. Saya kira cukuplah sekadar ini sedikit cetusan hati buat pemerhati di luar, itu hanyalah sebahagian produk yang berjenama Pemuda PAS, belum lagi hasil tangan peringkat PAS Pusat, Dewan Ulamak PAS yang mengumpulkan para ilmuan, Dewan Muslimat PAS yang menjadi tonggak utama dalam isu wanita untuk dimartabatkan dan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan para penggerak PAS dari kalangan bukan Islam yang saya kira perlu digarap sebuah buku untuk dikongsikan kepada anda semua.

10. Pernah dipesan oleh seorang aktivis PAS kepada saya, “PAS ini ada pelbagai orang, dari yang tidak gosok gigi hinggalah yang memegang skrol PHD”. Sebab itulah, PAS bukan semata-mata parti politik yang bermain isu dan persepsi tanpa kesudahan, PAS adalah untuk semua dan PAS ada semua untuk anda.

11. Justeru, saya dengan sepenuh hati menjemput seluruh rakyat untuk bersama-sama PAS walau di mana berada bagi memastikan Malaysia terus sejahtera, diberkati dan diredhai Allah.

[1] Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Fasal 3, Ms. 2

[2] Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Fasal 5, Ms. 2

[Ditulis Oleh Mohd Norhan Hamsi, Ketua Pemuda PAS Batu]

®Diterbitkan Oleh Penerangan Pemuda PAS Batu✓

#PAStalk
#pemudaPASBatu

LIKE FB PAGE
Pemudabatu.com