Home Artikel PAS Pusat

Titah Sultan Nazrin Perlu Diberi Perhatian

817
SHARE

Kenyataan Media

6 Ogos 2018 | 24 Zulkaedah 1439H

TITAH SULTAN NAZRIN PERLU DIBERI PERHATIAN

1. Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah bertitah ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perak kali ke 14 hari ini. Dalam titah baginda, beberapa perkara yang disentuh seperti urus tadbir yang baik dan kelestarian alam sekitar yang, bagi saya, perlu di ambil perhatian bukan sahaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Perak sahaja, bahkan seluruh rakyat Malaysia.

2. Apabila baginda menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia perlu dipertahankan tanpa kompromi, saya menjunjung kasih titah tersebut. Saya lihat sekarang, selepas kemenangan kerajaan yang baharu ini, terlalu banyak pihak yang mempersoalkan perlembagaan negara kita ini dan ini mampu mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara. Ada juga yang sudah berani menyentuh Perkara 153 yang menjadi salah satu perenggan penting dalam Perlembagaan kita.

3. Saya percaya pada perubahan tetapi ada perkara yang perlu ditetap dan tidak boleh diubah-ubah kerana apabila diubah, ia mampu membawa kepada perkara yang merugikan kepada majoriti rakyat dan negara. Saya berharap kerajaan baharu sekarang tidak perlulah melayan kehendak-kehendak pihak dan individu yang cuba mendesak kerajaan untuk memenuhi kehendak mereka.

4. Kerajaan baharu perlu sedar, bukan mereka sahaja yang memilih anda, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan. Jangan khianati amanah yang telah diberi oleh rakyat.

YB Shaharizukirnain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu