Home Berita PAS Pulau Pinang

PASTI Pulau Pinang Sambut Hari Guru

768
SHARE

Oleh : Lea Baiduri

KEPALA BATAS,  5 Ogos 2018: Pasti Pulau Pinang telah mengadakan majlis Sambutan Hari Guru di peringkat Negeri yang bertemakan ‘Guru Istiqamah Pemangkin Kemenangan’ bagi meraikan guru-guru Pasti seluruh Pulau Pinang pada Ahad yang lalu.

Turut hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Dewan Mentari Sunshine Bertam, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof, Pengarah Pilihanraya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali, wakil dari Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPNPP), Ustazah Fadhilah Ahmad selaku Naib ketua dan Ustazah Farhiyah Ketua Penerangan DMPNPP, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Pasti (ALP) serta seramai 340 guru setiap kawasan.

Pengarah program, Muhammad Zaharen Abd Kadir berkata, meskipun terlewat namun pihak Pasti Negeri tetap berusaha mencari hari yang sesuai untuk meraikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru.

Turut berucap Ketua Majlis Guru Pasti (MGP) Cikgu Mariayati Ibrahim, Pengarah Pasti Negeri, Ustaz Afnan Taib Azamudden dan Pengarah Pasti Malaysia merangkap ADUN Sg Limau, Yang Berhormat Ustaz Mohd Azam Samat.

Ustaz Mohd Azam yang turut merasmikan majlis berkata, guru-guru hendaklah terus melazimi diri dengan program-program tazkiyah dan tarbiyyah agar diberi pemahaman dan penghayatan Islam yang sebenar.

‘Disebalik tugas hakiki guru Pasti iaitu mendidik anak-anak murid di dalam kelas, guru Pasti juga berperanan mendidik masyarakat dan tugasan ini tidak akan berjaya sekiranya para guru tidak istiqamah dan tidak menghayati tema yang dilontarkan, kerana kemenangan dan kejayaan sebenar ialah kemenangan dunia hingga ke akhirat’ katanya lagi.

Pada majlis itu juga Ustaz Afnan telah menyampaikan Sijil Diploma Awal Kanak-kanak kepada 12 orang guru yang baru sahaja selesai konvokesyen di Terengganu pada 27-28 Julai yang lalu .

Manakala Anugerah Khas Perkhidmatan bagi 5 tahun seramai 11 orang, 10 tahun 3, 15 tahun 6, 20 tahun 5, 25 tahun 2 dan 30 tahun 2 orang.

Tokoh Guru Negeri telah diberikan kepada Cikgu Norazah Hashim dari kawasan Tasek Gelugor dan Tokoh Guru Paling Lama disandang oleh Cikgu Nurazlina Ismail dari kawasan Kepala Batas.

Masjis seterusnya dihiburkan dengan persembahan Qasidah kumpulan Arryan dari Kepala Batas dan berakhir dengan majlis potong kek Hari Guru.