Home Berita PAS Perak

KESYUKURAN, 90% Pembangunan Kompleks At-Taalim siap

111
SHARE

Oleh : Hafiz Green Mart & Nizam PSJ

LUMUT, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kompleks At-Taalim telah menganjurkan Majlis Kesyukuran Pembangunan At-Taalim bertempat di Kompleks At-Taalim, Batu 7 Lekir, di sini pagi semalam.

“Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah setelah menempuh pelbagai cabaran, halangan, dugaan dan rintangan, kini pembangunan kompleks yang telah diwaqafkan hampir siap dan tinggal 10 peratus sahaja lagi untuk siap sepenuhnya,” ujar Hj. Rosli.

Dalam majlis ini beliau menyorot, gagasan idea besar tertegaknya pusat pendidikan integrasi Islam yang disepadukan dengan Aliran Perdana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) bermula peringkat rendah sehingga pra universiti, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Daerah Manjung adalah hasil cetusan buah fikiran Mantan Pengarah At-Taalim, Haji Noh Ahmad.

Difahamkan idea tersebut diangkat dan diluluskan sebagai usul pendidikan dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lumut pada tahun 1997 dan berjaya dilaksanakan pada tahun 1998 bersama Saf Kepimpinan PAS Lumut waktu itu antaranya Haji Zulkifli Ahmad Yusuf dan Almarhum Zakaria Yasin (Setiausaha) yang menjadi penggerak utama At-Taalim.

Tambahnya lagi, majlis ini juga meraikan dan menghargai penglibatan pelbagai pihak terutama Team Fastibiqul Khairat , para guru At-Taalim dan para petugas parti yang istiqomah telah turun ke merata pasar pagi, pasar malam dan pekan hari sekitar Perak, terutama Manjung, Teluk Intan, Taiping, Seri Iskandar, Kuala Kangsar dan Ipoh samada hujan atau panas.

Beliau turut berkongsi rasa syukur, beberapa hari lepas kompleks telah dilawati Majlis Perbandaran Manjung dan menunggu proses akhir, kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapat Certificate of Completion and Compliance (CCC) setelah melalui beberapa prosedur ketat dari aspek keselamatan bangunan dan pengguna.

Dalam majlis ini juga, Pengarah At-Taalim, Rosli Abd Rahman telah menyempurnakan penyerahan cek kepada Pengurus Syarikat Halapasti Sdn. Bhd., Haji Noh Abdullah selaku kontraktor yang bertanggungjawab menguruskan pembinaan pembangunan ini bersama penyelia projek, Ramas Sinnakkando.

Pihak Pengurusan Pembangunan Kompleks At-Taalim merayu dan memohon kepada semua dermawan yang bermurah hati di seluruh Malaysia dan Perak khasnya dapat menghulurkan wakaf, infak, sumbangan atau dana bagi menyempurnakan baki lagi 10 peratus. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Islamic 5582 9360 6057 atas nama Kompleks At-Ta’alim.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi, Pengerusi Pembangunan At-Taalim (Baru), Kamarul Ariffin (+60125171006), Pengetua Sekolah Menengah At-Taalim, Ustaz Badrulhisyam Baharuddin (014-2440793) dan Pejabat At-Taalim (05-6888196). Pihak pembangunan juga turut mengalu-alukan para dermawan untuk hadir membuat tinjauan lapangan dan melihat baki pembangunan kompleks.

Turut hadir dalam majlis ini, Timbalan Pengarah At-Taalim, Haji Zaharuddin Zainuddin merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Lumut, Pengerusi Pembangunan Kompleks At-Taalim, Haji Osman Uyob, Guru Besar, Pengetua dan Mudir Pondok At-Taalim, Ust Mohd Khairul Iman Ismail, Ust Badrulhisyam Badaruddin dan Ust Mohd Zaeem Zaid bersama seluruh para pendidik At-Taalim sekeluarga.