Home Artikel PAS Negeri Sembilan

PAS tawar penyelesaian hapus GST

885
SHARE

SEREMBAN: PAS sedia menawarkan kaedah penyelesaian yang terbaik mengikut acuan Islam sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Zaharudin Mohamad, berkata, PAS bukan sahaja mendesak kerajaan menghapuskan cukai GST, tetapi PAS mempunyai kaedah untuk mendapatkan balik sejumlah pendapatan negara yang akan terjejas sekiranya GST dihapuskan.

“Pakatan Harapan tak ada tawaran (kaedah penyelesaian) hapuskan GST. Tun Mahathir kata hapus GST, ganti SST. Tapi PAS seiring dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), mempunyai tawaran untuk hapuskan GST.

Mengikut Islam GST haram kerana semua lapisan masyarakat dikenakan cukai termasuk orang miskin. Tapi kita ada kaedah untuk memungut cukai tanpa membeban rakyat terutama yang miskin.

“Sekiranya GST dihapuskan, sumber pendapatan kerajaan pasti akan berkurangan dan ini boleh mengakibatkan defisit. PAS mempunyai kaedah untuk mencari sumber pendapatan sekiranya GST dihapuskan iaitu memperkenalkan sistem cukai 2.5 peratus ke atas golongan kaya. Islam bukan ibadah dan hudud saja tetapi juga sistem pengurusan ekonomi.

“Kalau PAS memerintah, kita akan tadbir ikut Syar’iyyah termasuk ekonomi dan sistem cukai. Siasah Syar’iyaah asas penting dalam politik. Ianya sebagai panduan hukum dan pentadbiran negara. Bagai mana urus harta rakyat,” kata Ustaz Zaharudin dalam program Munajat Pilihan Raya 14, Ijtimak Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan di Dewan Tahfiz Senawang 24 September. Hadir sama Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Mustafa Daharun dan Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Ustaz Abdul Hadi Mohd Isa dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Khairul Yazman Yahya.

Ustaz Zaharudin juga menyentuh bagaimana cukai duti dan eksais yang tinggi menyebabkan harga kereta sangat mahal dan
sangat membebankan rakyat.

“Kita beli kereta selepas membayar sejumlah wang pendahuluan. Selepas itu kita bayar ansuran kereta iaitu bayaran hutang dengan pihak bank. Sebenarnya kita bukan sahaja bayar ansuran hutang kereta tetapi kita juga bayar cukai kereta secara ansuran. Kalau PAS memerintah, kita akan hapuskan cukai duti dan eksais kereta. Rakyat kini dibebankan dengan tiga perkara besar iaitu hutang rumah, hutang kereta dan harga barang yang mahal,” jelasnya. – Harakah, Bil 2284