Home Artikel PAS Negeri Sembilan

PAS bantu mangsa kebakaran Pasar Seremban

476
SHARE

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan akan menyerahkan satu surat tuntutan kepada pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bagi menuntut membayar pampasan yang setimpal kepada seluruh peniaga yang terlibat dalam kejadian kebakaran Pasar Besar Seremban baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pasar Besar Seremban bertemu dengan mangsa kebakaran pasar itu baru-baru ini.

“Keputusan forensik dari pada pihak Jabatan Bomba sedang di tunggu. Jika benar bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas maka ini membuktikan kecuaian pihak MPS. Ini berikutan satu surat dari Suruhanjaya Tenaga pernah dikeluarkan kepada MPS bertarikh 17 Ogos 2010, menyatakan tahap keselamatan yang membimbangkan pada sistem pendawaian elektrik pasar besar terbabit.

“Pihak Suruhanjaya Tenaga meminta pihak MPS membuat penyelenggaraan setiap dua tahun terhadap sistem pendawaian elektrik terbabit.

“Tambah memburukkan keadaan jaring penghalang burung yang digantung pada siling tingkat atas pasar besar tersebut dilihat adalah punca paling utama api merebak dengan sangat cepat. Kurang 15 minit api sudah membakar hampir keseluruhan bahagian atas pasar besar. Ini kerana jaring itu diperbuat dari bahan yang mudah terbakar.

Kita serahkan keputusan siasatan kepada pihak bomba namun perlu ada pihak yang bertanggungjawab dalam insiden ini,’ katanya.

Ustaz Mohd Khairil Anuar berkata, pihak Lajnah Perpaduan Nasional PAS telah mengumpulkan seluruh laporan polis dan salinan kad pengenalan para peniaga terbabit untuk dihantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Baitulmal (peniaga Islam) bagi membantu meringankan beban para peniaga untuk mereka memulakan kembali perniagaan mereka yang telah musnah dijilat api.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang telah berjanji akan memberikan RM 1,000 bagi setiap peniaga bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka. Turut hadir, Pengerusi Khidmat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Mohamed Hassan Tamby. – Harakah Bil. 2284