Home Artikel PAS Sabah

PAS Semporna edar 200 bubur lambuk percuma.

469
SHARE

Oleh: Suzie Lisah
20 Mei 2019

SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna bersama-sama Pemuda PAS dan Muslimat PAS Semporna telah mengagihkan bubur lambuk sebanyak 200 bungkus kepada penduduk di Kampung Tonggulangan dan Kampung Tanjung Kapor petang semalam.

Ketua Muslimat PAS Semporna, Nusaibah Aslamiyah berkata, acara gotong-royong memasak bubur lambuk itu diadakan sejak jam 8 pagi melibatkan kira-kira 20 petugas bagi menjayakan program edaran bubur lambuk tersebut.

“Selain mengagihkan bubur lambuk, matlamat kita mengadakan program turun padang ini bagi mendengar rintihan serta masalahan rakyat yang dialami di bawah pentadbiran kerajaan baharu,” Ujar Nusaibah.

Selain itu, Ketua Pemuda PAS Semporna, Huzaini Rohani yang turut hadir berkata, sasaran edaran bubur lambuk ini diberikan kepada mereka yang bergelar asnaf yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Ini adalah inisiatif kita bagi membantu mereka dalam menyediakan juadah berbuka semampu kami,” jelas beliau.

Tambahnya, penduduk memberikan sambutan yang sangat baik atas usaha yang dilakukan ini dan melahirkan perasaan gembira diatas pemberian bubur lambuk itu.

Hadir bersama menjayakan program ini ialah Ketua Penerangan PAS Semporna, Aizal Samsaruddin, Ketua Lajnah Dakwah PAS Semporna, Alisha Hafizi dan beberapa orang AJK PAS Semporna yang lain.