Janira Ain Abu Bakar
8 September 2020
PUTATAN: “Pesan Tuan Guru kami, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, apabila kita sudah bermuafakat (berjanji), kita jangan khianati kawan,” demikian petikan ucapan Ustaz Muhammad Akmal Othman, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan dalam Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu DUN N.24 Tanjung Keramat, baru-baru ini.
Beliau sempat menekankan semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis beberapa bulan lepas.
Mengulas lanjut katanya, petugas PAS turut berkempen seolah-olah PAS yang bertanding. Sama-sama berpanas dan gembira dengan kemenangan UMNO pada ketika itu.
Beliau bersama 4 orang lagi Ahli Jawatan Kuasa PAS Kawasan telah hadir sebagai memenuhi undangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Putatan di Kampung Meruntum, di sini.
Dalam majlis tersebut, Ketua Bahagian Bersatu Putatan, Datuk Seri Dr. Arsit Haji Sedi telah melancarkan jentera pilihan raya BERSATU sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Turut hadir, pemimpin parti komponen muafakat iaitu Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohammed, Ketua PBS DUN Tg Keramat, Mohd Tahir Mohd Soon dan mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Ir. Shahelmey Yahya.
Kesemua pimpinan senada dalam ucapan mereka, menegaskan kepentingan perpaduan dan permuafakatan parti-parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN) demi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Arsit dalam ucapan perasmiannya turut menekankan bahawa PN berpeluang cerah untuk menumbangkan Parti Warisan khususnya di Putatan.
Tambahnya, sebarang perpecahan hanya akan menguntungkan pihak lawan. Justeru, ahli-ahli parti komponen perlu fokus dan memberikan sokongan padu bagi memastikan kemenangan calon yang telah ditentukan oleh pucuk pimpinan PN dan BN.
Parlimen Putatan P.173 yang dahulunya terdiri daripada 2 DUN, kini mempunyai 3 DUN iaitu Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat (DUN Baharu) hasil persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini.