Home Artikel PAS Sabah

PAS Putatan Santuni Mangsa Banjir

307
SHARE

Wawa Aziz
6 Julai 2020

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan telah menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sekambu, Petagas, semalam.

Bantuan berupa barangan dapur beserta kelengkapan solat telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Akmal Othman kepada 30 keluarga. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha MPKK Kg Baru Petagas.

Dalam kejadian banjir pada 27 Jun 2020, air Sungai Sekambu naik dengan cepat dan melimpah ke kawasan rendah sekitar kawasan itu menyebabkan banjir kilat. Walau bagaimanapun air banjir hanya surut selepas 2 ke 3 hari, menyebabkan sebahagian barangan di dalam rumah mangsa rosak.

Prihatin dengan musibah menimpa penduduk sekitar Parlimen Putatan, PAS Putatan melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan telah melancarkan Tabung Bencana Banjir bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Hasil sumbangan daripada masyarakat umum, PAS Putatan setakat ini telah menyempurnakan serahan sumbangan kepada penduduk Kg Sekambu dan Kg Ketiau, Putatan yang terlibat dalam musibah banjir.

PAS Putatan berharap projek pembinaan tebing sungai sepanjang Kg Sekambu ke Kg Sedil dapat disegerakan, agar saliran air di kawasan tersebut dapat ditingkatkan terutama apabila hujan lebat, bagi mengelakkan banjir kilat yang mengambil masa 2 ke 4 hari untuk surut.