Home Artikel PAS Perlis

PAS Perlis Rakam Tahniah Kepada HTF

234
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : PAS Negeri Perlis hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dekat sini yang telah menerima pengiktirafan sebagai 10 agensi terbaik kerajaan di Malaysia.

Pesuruhjayanya Mohd. Shukri Ramli berkata, pengiktirafan tersebut turut menjadi kebanggaan seluruh rakyat Perlis memandangkan HTF diibaratkan sebagai ‘denyut dan nadi’ rakyat negeri ini.

“PAS Negeri Perlis ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan HTF serta seluruh warganya atas perkhidmatan cemerlang sehingga membolehkannya mendapat pengiktirafan antara 10 agensi terbaik kerajaan di negara ini.

“Pengiktirafan berkenaan dibuat berdasarkan kepada skor 100 peratus pencapaian cemerlang menerusi sistem penilaian pelanggan (eRating) bagi bulan Mei hingga September tahun ini.

“Kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa hospital awam seperti HTF juga mampu menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) semalam telah mengeluarkan senarai 10 agensi kerajaan paling cemerlang di Malaysia berdasarkan kepada skor eRating bagi bulan Mei hingga September 2020.

Kejayaan yang diraih HTF turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi satu siaran dalam laman facebook rasmi KKM.

Selain HTF, agensi lain yang mendapat pengiktirafan berkenaan ialah Jabatan Imigresen Malaysia (UTC Pudu, KL), Pejabat Kebajikan Masyarakat Rembau, MAMPU Sabah, Klinik Nur Sejahtera LPPKN Kuching dan Klinik Nur Sejahtera LPPKN Ipoh.

Turut tersenarai, Majlis Perbandaran Bentong, Pejabat Kebajikan Masyarakat Port Dickson, MAMPU Sarawak dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuala Pilah.