Home Berita PAS Perlis

PAS Perlis Himpun Jentera, Bermunajat Memohon Keredhaan Allah

3002
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Ketika ada pihak memandang sinis kenyataan Tuan Guru Presiden PAS yang menyatakan bahawa PAS menyertai pilihan raya umum demi mencapai keredhaan Allah, program-program berbentuk munajat tidak putus-putus diadakan di markas-markas PAS di seluruh negara, sebagai suatu usaha bagi memohon keredhaan Allah serta pertolongan-Nya untuk menghadapi PRU14 nanti.

Terbaru, Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis dan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Perlis, telah mengadakan program Himpunan Jentera dan Munajat PRU14 Peringkat Negeri Perlis pada 15 Oktober yang lalu.

Program yang menghimpunkan seluruh jentera pilihanraya parti ini diadakan di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS).

Bermula seawal jam 4.00 pagi, para peserta telah memenuhi ruangan dewan kompleks, untuk sama-sama bermunajat kepada Allah, berqiyamullail serta mendengar taujihat daripada pimpinan.

Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Hj. Ahmad Ali dan Pesuruhjaya PAS Perlis, YB. Mohd. Shukri bin Ramli adalah antara pimpinan yang hadir dalam program berkenaan.

Dalam slot taujihatnya, Tuan Guru Hj. Ahmad Ali telah mengingatkan seluruh ahli jentera pilihanraya PAS akan kepentingan istiqamah serta sikap sabar, dalam menyebarkan dakwah Islam kepada seluruh masyarakat.

Beliau turut menggesa para penggerak PAS supaya memainkan peranan yang optimum serta memaksimumkan persiapan serta gerak kerja, serta melipatgandakan pergantungan kepada Allah menerusi doa dan tawakkal kepada Allah.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana peristiwa Hijraturrasul telah menampilkan model terbaik untuk diikuti oleh para pejuang Islam menerusi peranan serta pengorbanan yang ditunjukkan oleh nama-nama penting dari kalangan Sahabat Nabi S.A.W. seperti Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a., Asma’ Abu Bakar, Fuhairoh `Aamir dan sebagainya.