Home Berita PAS Sabah

PAS PARTI EKSTRIM:DAKWAAN BUSUK DAN TIDAK REALITI

1103
SHARE

Oleh : Abu Maryam Safiyya

6 Januari 2020

Saya terbaca kenyataan salah seorang pemimpin politik di Sabah dalam sebuah portal media negeri yang menyatakan PAS sebagai parti ekstrim dan tidak sesuai diamalkan dalam konteks negeri Sabah. Kenyataan ini bagi saya sangat dangkal dan busuk mengaitkan PAS dengan pelampau. Saya kira ini juga modal lama yang diangkut kembali untuk mewujudkan persepsi dan tuduhan jahat kepada parti Islam ini. Pendekatan lisan yang Ibarat mengambil sampah sarap untuk dipersembahkan kepada rakyat yang dianggap buta dan tuli. Beberapa bukti kukuh jelas saya boleh kemukakan demi menangkis dakwaan tidak rasional ini :

Pertama

Negeri Kelantan yang diperintah PAS hampir 3 dekad (30 tahun) dengan pelbagai bangsa termasuk dari keturunan Siam dari negara jiran penuh harmoni tanpa penindasan. Saya sering bertandang ke negeri ini merasai sendiri keharmonian itu. Jadi di mana pelampaunya PAS? Kalau susah sangat memahami saya cadangkan pemimpin ini pergi sendiri ke negeri itu. _Everyone can fly now_!

Kedua

PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terdiri daripada kaum Cina dan India. Semua rakyat menyaksikan sendiri bagaimana ia ditubuhkan hinggalah menyerlah saat ini. Jadi di mana pelampaunya PAS?

Ketiga

PAS telah memeterai perjanjian politik bersama UMNO di persada Muafakat Nasional yang mana UMNO juga mempunyai hubungan konsesus politik bersam MIC dan MCA dalam Barisan Nasional. Andai kata PAS pelampau perlukah ada Muafakat Nasional itu. Sebelum ini pun PAS sudah menjalinkan hubungan politik bersama Parti Cina Malaysia (PCM) yang terdiri daripada kaum Tiong Hua yang memimpin. Jadi di mana sebenarnya sikap pelampau PAS?

Keempat

PAS mempunya institusi pendidikan untuk semua. Gagasan ini lebih awal diaspirasikan dan telah pun direalisasikan secara mendasar kepada semua lapisan masyarakat termasuklah di Sabah. Itulah PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam). Pusat pendidikan yang membuka pintu untuk semua kaum dan bangsa bukan hanya untuk orang-orang PAS bahkan entiti pendidikan ini sudahkan terbukti kekuatan dan kewibawaanya terbuka kepada semua rakyat. Sabah antara negeri paling banyak PASTI dan paling maju operasinya. Jadi di mana pelampaunya PAS?

 

Kelima

Sudah 30 tahun lebih PAS lahir di Sabah, jauh lebih awal wujud berbanding Parti Warisan yang baru berpangkat ‘bayi’ itu. Berapa banyak rusuhan agama di Sabah yang PAS anjur sepanjang berumur 30 tahun itu, kalau pun ada? Berapa banyak kenyataan rasis, menghina agama lain mahupun bercirikan melampau yang pimpinan PAS keluarkan? Atau apa sahaja pendekatan yang dikira sebagai ‘pelampau’. Sudah pasti tiada. Jadi di mana pelampaunya PAS di Sabah ini?

Cukuplah lima bukti asas di atas menjelaskan PAS tidak pernah bergerak atas semangat pelampau (ekstrim). Jangan samakan PAS dengan Taliban dan apa-apa sahaja gerakan pelampau jika sezarah pun bukti tiada. Hampir 70 tahun PAS bergerak di persada negara dan Sabah adalah sebahagian dari Malaysia namun tiada satu pun dakwaan dan tangkapan dari pihak berkuasa terhadap parti Islam ini bersabit dengan gelaran ‘pelampau’. Saya nasihatkan kepada pemimpin ini jadilah ahli politik yang berhati-hati dengan lidah. Rakyat Sabah bukan bodoh bosssku. Ini tahun 2020 sudah bah.

 

Pengundi Muda

Anak Jati Sabah