Home Artikel PAS Perlis

PAS Padang Besar Serah Sumbangan Untuk Rohingya 

581
SHARE

Oleh: Noor Sara Mashitoh

PADANG BESAR : PAS Kawasan Padang Besar berjaya mengumpulkan sumbangan kepada Tabung Kemanusian Rohingya sebanyak RM3,000 dalam tempoh sebulan kempennya.

Sumbangan itu telah diserahkan pada Majlis Makan Malam Bersamamu Rohingya di Kompleks Tarbiyah PAS Bukit Kerang (KOMTAR) kelmarin.

Pengarah PASRelief Malaysia, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini PASRelief telah 11 kali turun memberi bantuan kepada kaum Rohingya.

Menurutnya, jumlah itu adalah termasuk tujuh kali ke Bangladesh dan bakinya ke Arakan sejak ditubuhkan pada awal tahun 2017.

“Arakan adalah sebuah daerah yang terletak di Pantai Barat Myanmar yang menjadi tempat tinggal bangsa Rohingya.

“Selepas operasi tentera pada 25 Ogos yang lalu, penganut Islam Rohingya yang pada asalnya berjumlah 7 juta orang kini hanya tinggal 400,000 orang sahaja.

“Perkara ini telah berlarutan selama 70 tahun yang lalu,” kata Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Beliau menceritakan sedikit mengenai sejarah banngsa Rohingya yang mana Arakan adalah sebuah negara Islam sebelum dijajah oleh Burma dan Inggeris.

Jelas beliau lagi, suku kaum yang terbentuk bernama Rohingya adalah hasil dari perkahwinan antara pedagang dari negara Timur seperti Yaman, Rom dan Turki dengan rakyat negara Arakan.

“Myanmar menuduh mereka sebagai pendatang haram, disebabkan itu mereka dihalau pulang ke Bangladesh dan lebih malang mereka telah dibunuh.

“Namun hakikatnya Arakan telah berada di Myanmar lebih awal dari tahun 800 Masihi,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Perlis, Ruseli Eizan dan Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Besar, Kamis Yub. HARAKAH DAILY 20 NOVEMBER 2017