BAYAN BARU: PAS Negeri Pulau Pinang telah membuat bantahan rasmi berhubung projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) menerusi maklum balas Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Serahan telah diketuai Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Tanah Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Zikri Ismail di Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, di sini kelmarin dahulu.
Hadir sama menghantar maklum balas tersebut adalah wakil NGO Teroka, Muhammad Zamri Sheik Abdul Kader dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pulau Pinang, Sarfaraz Ahmad Khalid Maqsood.
Pun begitu, Zikri juga menyuarakan rasa kesal berikutan tempoh pameran awam dan waktu maklum balas diberikan untuk EIA itu tidak mengambil kira kepentingan banyak pihak yang terlibat.
Kerana menurutnya, waktu pameran antara 29 April hingga 28 Mei lalu dan tarikh akhir maklum balas pada 12 Jun adalah waktu kesibukan kebanyakan orang terhadap Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri.
Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai pertimbangan tidak bertanggungjawab terutama terhadap pemegang taruh utama antaranya golongan nelayan yang terkesan oleh projek PSR tersebut.
Bahkan, Zikri menempelak pameran tersebut diadakan pada tarikh tersebut sebagai tipu daya licik pihak yang melaungkan slogan ‘telus’ di mana hakikatnya projek itu berorientasikan permainan industri hartanah untuk keuntungan.
“Meskipun begitu, bagi pihak PAS Pulau Pinang kami konsisten menggunakan ruang ini walaupun ‘disempitkan’ untuk tetap memberi maklum balas bantahan.
“Bagi kami projek ini menzalimi nelayan dan melebarkan ketidakadilan sosial khususnya masyarakat Melayu di mana kawasan itu akan dirakusi pembangunan yang mengutamakan pemaju dan kelas atasan,” bidasnya.
Turut serta adalah Ahli Jawatankuasa Lajnah Alam Sekitar dan Tanah Pemuda PAS Pulau Pinang, Mustaqim Yahya serta wakil-wakil dari Pemuda PAS Kawasan Tanjong, Bayan Baru dan Jelutong.