Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

PAS Negeri Sembilan Seru Ahli dan Penyokong PAS Ke Sambutan Ulangtahun Ke-50

967
SHARE

Kenyataan Media Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan.

PAS NEGERI SEMBILAN SERU AHLI DAN PENYOKONG PAS KE SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-50

1. Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Badan Perhubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sembilan akan menganjurkan sebuah himpunan yang dinamakan Himpunan Hijau dan Sambutan 50 tahun PAS Negeri Sembilan.

2. Program anjuran bersama semua Dewan dan PAS Kawasan ini akan diisi dengan pengisian-pengisian santai, acara sukaneka, munajat perdana dan pentas pidato pimpinan.

3. Sambutan 50 tahun PAS Negeri Sembilan ini secara simboliknya menandakan semangat dan tekad PAS Negeri Sembilan untuk terus mengungguli gerakan dakwah, tarbiyah dan politik Islam di negeri Adat Perpatih ini, lebih-lebih lagi dalam menghadapi musim Pilihanraya Umum Ke-14 tidak lama lagi.

4. Menyingkap sejarah, tokoh-tokoh di Negeri Sembilan merupakan antara individu yang terawal membantu ke arah penubuhan PAS. Ini dibuktikan dengan perlantikan dua orang individu yang mewakili Negeri Sembilan iaitu Tuan Mohamad Majzub Yunus dan Tuan Haji Othman Talib sebagai Ahli Jawatankuasa PAS pertama, sesi 1951-1953.

Tuan Majzub juga telah dipilih sebagai Ketua Jabatan Kebajikan Am (mungkin boleh disamakan dengan Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan sekarang) PAS yang pertama untuk sesi tersebut.

5. Rentetan daripada itu, beberapa cawangan (sekarang Kawasan) telah ditubuhkan antaranya Rembau (1953), Johol (1953), Kuala Pilah (1955), Nilai (1957), North Johol (1957) dan Seremban (1957), manakala Tuan Haji Habib Mohamad telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan pada tahun 1955.

6. Setelah mengalami pasang surut di peringkat awal, akhirnya Badan Perhubungan PAS Neeri Sembilan secara rasminya telah ditubuhkan pada 12 April 1967 di Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah.

7. Justeru, kami menyeru kepada semua pimpinan di semua peringkat, ahli-ahli PAS, penyokong PAS dan mereka yang bersimpati dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS untuk sama-sama menghadirkan diri ke HIMPUNAN HIJAU & SAMBUTAN 50 TAHUN PAS NEGERI SEMBILAN yang akan berlangsung pada 26 November 2017, Ahad, bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah malam di No.42, Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL RAHIM UJANG
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, merangkap
Pengarah Program Himpunan Hijau & Sambutan 50 Tahun PAS Negeri Sembilan.

Tarikh : 2 November 2017